Bayi terpaksa diletakkan berhimpit-himpit dalam inkubator, hospital Gaza amat daif - Utusan Malaysia

Bayi terpaksa diletakkan berhimpit-himpit dalam inkubator, hospital Gaza amat daif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Doktor-doktor di Semenanjung Gaza kini terpaksa meletakkan beberapa bayi pramatang dalam satu inkubator, susulan krisis kekurangan bahan api yang semakin meruncing, menyebabkan banyak hospital terpaksa menutup perkhidmatan penting dan mengancam nyawa pesakit.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bekalan bahan api di Gaza kini berada pada tahap kritikal, dengan stok yang amat terhad dan hampir tiada tambahan yang boleh diakses.

“Hospital kini mencatu penggunaan bahan api. Ambulans tidak dapat bergerak. Sistem air hampir lumpuh. Dan jumlah kematian dijangka meningkat dengan mendadak sekiranya pihak berkuasa Israel tidak membenarkan kemasukan bahan api dengan segera, berkala dan dalam kuantiti mencukupi,” kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dalam satu kenyataan.

Sekatan Israel selama 11 minggu terhadap bantuan kemanusiaan awal tahun ini telah menjerumuskan lebih dua juta penduduk Gaza ke ambang kebuluran serta krisis kemanusiaan yang kian parah.

Walaupun penghantaran bantuan disambung semula pada Mei lalu, kumpulan kemanusiaan menyatakan ia masih jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan mendesak rakyat Gaza.

Pengarah Hospital Al-Ahli di selatan Gaza memuat naik gambar menyayat hati yang menunjukkan beberapa bayi berkongsi satu inkubator di Hospital Al-Helou.

“Keadaan tragik ini bukan sekadar berpunca daripada kekurangan peralatan, tetapi akibat langsung daripada perang yang tiada henti ke atas Gaza serta sekatan yang mencekik dan melumpuhkan keseluruhan sistem penjagaan kesihatan,” kata Dr. Fadel Naim menerusi ciapan di X.

Kementerian Kesihatan Gaza turut memaklumkan selain kekurangan bahan api, mereka juga berdepan kesukaran mendapatkan alat ganti untuk penjana kuasa yang digunakan di hospital-hospital.

“Masalah utama kami bukan sahaja bahan api untuk menjana elektrik, tetapi kami juga tidak mempunyai alat ganti untuk membaiki penjana yang rosak,” ujar kementerian tersebut.

Israel menghadkan kemasukan bahan api sejak bermulanya konflik, dengan alasan ia boleh digunakan oleh Hamas untuk melancarkan serangan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×