Dua tentera dicekup, curi lembu untuk jualan Aidiladha - Utusan Malaysia

Dua tentera dicekup, curi lembu untuk jualan Aidiladha

KENDERAAN jenis Proton Persona yang digunakan suspek untuk mencuri lembu turut ditinggalkan di lokasi kejadian selepas terbabas ke dalam sungai ketika cuba melarikan diri daripada dikejar penduduk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN : Dua anggota tentera dicekup selepas dipercayai cuba mencuri lembu di sebuah kandang di Simpang Bekoh, dipercayai bagi tujuan jualan sempena sambutan Aidiladha.

Kejadian berlaku sekitar jam 1.00 pagi pada 24 Mei lalu apabila pemilik kandang menerima maklumat mengenai sebuah kereta jenis Proton Persona yang menceroboh masuk ke kawasan ternakan miliknya.

Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat, dua lelaki dilihat berada dalam kandang yang menempatkan 10 ekor lembu dan 22 ekor kambing, namun melarikan diri selepas dikejar penduduk kampung.

“Suspek sempat melarikan diri dengan kereta namun terbabas ke dalam sungai sebelum ditinggalkan di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, sekitar jam 2.30 petang hari sama, kedua-dua suspek tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin,” katanya kepada pemberita hari ini.

Rusli berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek berusia 26 tahun adalah anggota tentera dan mengaku cuba mencuri lembu tersebut untuk dijual menjelang Aidiladha bulan depan.

“Suspek turut mengakui terlibat dalam kes kecurian lembu di kawasan sama sebelum ini dan ujian air kencing mendapati mereka bebas dari pengaruh dadah.

Kedua-dua suspek direman selama dua hari dan permohonan sambung reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Jasin esok,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang boleh membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN