JOHOR BAHRU: Polis negeri ini berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah di Johor Bahru dan Pontian dengan merampas lebih 15 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM2.3 juta.
Dalam serbuan sama, polis turut menahan lapan individu termasuk dua wanita warga asing berusia antara 29 hingga 54 tahun.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, dalam serbuan pertama di Johor Bahru, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam di sebuah apartmen di Jalan Skudai, pada pukul 3.30 petang, Selasa lalu.
Pemeriksaan ke atas Nissan X-trail dinaiki suspek menemukan beberapa jenis dadah disimpan dalam papan pemuka kenderaan itu disyaki syabu, ketamin dan pil erimin 5.
“Hasil penahanan itu membawa kepada serbuan kedua di apartmen berkenaan dan menahan empat lagi lelaki warga tempatan dan seorang wanita Myanmar. Dalam operasi ini, pihak polis berjaya merampas dadah seberat 7.08 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 1.37 kg heroin, 139 gram ketamin, 123 gram syabu dan 127 biji pil erimin 5 dengan nilai rampasan RM1.24 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga buah kereta, dua motosikal, wang tunai RM9,320 dan pelbagai jenis barang kemas dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM137,273.
Kumar berkata, modus operandi sindiket itu dengan menyewa apartmen yang berpagar dan berpengawal sebagai tempat simpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum dijual menerusi aplikasi WeChat.
Sindiket pengedaran yang aktif beroperasi sejak Januari lalu dan dipercayai mendapatkan bekalan dari wilayah utara akan meletakkan bekalan dadah yang dipesan pelanggan di lokasi tertentu sebelum mengarahkan pembeli ke lokasi terbabit.
Dalam serbuan di sebuah rumah teres di Pontian, seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan bersama-sama sejumlah rampasan dadah.
“Polis merampas 6.40 kg serbuk ekstasi; 5.66 gram ketamin; 20.04 gram syabu; 31.74 g pil ekstasi dan lapan biji pil yaba dengan semua rampasan berjumlah RM1.07 juta.
“Semua suspek direman sehingga 2 Jun ini bagi membantu siasatan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala warga Myanmar disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. – UTUSAN