KUALA SELANGOR: Dua lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Bernam Batu 10, Tanjong Karang di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu menimpa mangsa tempatan berusia lingkungan 50 dan 60-an yang dipercayai tercampak keluar dari Toyota Avanza tersebut.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kemalangan itu.
Jelasnya, sepasukan lima pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikerah dalam operasi berkenaan.
“Setibanya di lokasi kejadian, kereta Toyota Avanza itu didapati terbabas dan masuk ke dalam parit.
“Pemeriksaan mendapati dua mangsa lelaki telah tercampak dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Tambah beliau, mayat mangsa diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.-UTUSAN