Dua lelaki ugut sebar video bogel ditahan

Dua lelaki ugut sebar video bogel ditahan

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan dua lelaki memeras ugut seorang lelaki menggunakan video bogel mangsa, memakan diri apabila mereka diberkas polis di sekitar Ampang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian berlaku pada 11 April lalu ketika mangsa berada di rumah rakannya di Taman Melawati sebelum menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu yang dikenalinya.

Menurut beliau, suspek mengugut untuk menyebarkan video bogel membabitkan mangsa bersama teman wanitanya sekiranya tidak diberikan sejumlah wang.

“Bimbang video tersebut disebarkan, mangsa terpaksa membayar RM2,800 secara ansuran kepada suspek. Namun, apabila suspek sekali lagi meminta wang iaitu sebanyak RM1,000, mangsa akhirnya membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya berjaya menahan dua lelaki berusia 18 tahun dalam serbuan di kawasan Galaxy Ampang, pada 18 Mei lalu.

Menurutnya, dalam operasi itu, polis turut merampas tiga unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah berkenaan.

“Hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod. 

“Ujian saringan air kencing turut mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis THC,” jelasnya.

Tambah Mohd. Azam, kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bermula 19 hingga 22 Mei bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN