Doktor rugi RM50,000 rumah dipecah masuk

Doktor rugi RM50,000 rumah dipecah masuk

AZLI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang doktor kerugian lebih RM50,000 selepas kediamannya di sebuah kondominium di bandar raya ini dipecah masuk, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu,  Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian tersebut disedari lelaki terlibat yang berusia 43 tahun ketika bangun daripada tidur kira-kira pukul 6.30 pagi.

Beliau berkata, selepas diperiksa, mangsa mendapati antara barang berharga yang hilang ialah seutas jam tangan Omega, seutas jam tangan Tag Heuer, kunci kereta, Ipad dan beg duit yang diletakkan di atas meja.

“Mangsa segera memeriksa aplikasi kereta Mercedes melalui telefon dan mendapati kereta miliknya berada di sebuah flat di bandar raya ini. Susulan itu polis menahan seorang lelaki iaitu suspek berusia 27 tahun di sebuah rumah pekerja di Kampung Kuala Tengah, Marang kira-kira 3.15 pagi ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azli berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 21 barangan lain termasuk beg berjenama mewah, kad akses rumah, topi keledar, jam tangan, kad bank dan set anak kunci pelbagai jenis.

“Suspek yang bekerja di sebuah kedai menjual ayam mengaku terlibat dalam kes berkenaan. Siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan bebas ujian air kencing. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN