Masak jadi mudah dengan kiub serai

Masak jadi mudah dengan kiub serai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Serai kampung digunakan secara meluas dalam masakan tempatan kerana aromanya yang harum.

Kini, menerusi formulasi moden, serai tidak lagi sekadar tumbuh di belakang rumah, sebaliknya dikomersialkan dalam bentuk kiub.

Inisiatif tersebut diperkenalkan syarikat pengeluar produk berasaskan herba tempatan, Serai Malaya Sdn. Bhd. (Serai Malaya) melalui dua produk terbaharu iaitu kiub pati udang bersama serai dan kiub pati tempoyak bersama serai. 

Pengarah Urusannya, Johari Abu Kasim berkata, kuib masakan itu merupakan antara yang pertama di dunia yang menggabungkan pati udang dan tempoyak dengan serai.

Kelebihannya terletak pada format kiub, mudah disukat dan sesuai untuk gaya hidup moden. 

“Hanya satu atau dua kiub diperlukan untuk setiap hidangan, sekali gus menjadikannya pilihan ideal bagi ibu-ibu sibuk yang tetap mahu menyediakan juadah sedap dan berkhasiat. 

“Ia juga diperbuat tanpa bahan pengawet tiruan dan hanya menggunakan teknologi bagi mengekalkan rasa, aroma serta nutrien semula jadi,” katanya.

Selain dua produk itu, mereka turut mengeluarkan serai racik kering, teh serai, serbuk serai dan kiub pati serai.

Sejak beroperasi pada 2022, Serai Malaya telah membeli sebanyak 120,000 tan metrik serai daripada penduduk kampung, menjadikan syarikat ini antara pembeli utama serai kampung di Malaysia.

“Kami memilih serai kampung kerana nilai komersial dan manfaat kesihatan. Malah, model tanaman kontrak yang diamalkan turut memberi impak besar kepada ekonomi luar bandar, ” katanya.

Syarikat itu bekerjasama dengan lebih 50 penanam serai di Batu Kikir (Negeri Sembilan) di samping Beranang dan Sabak Bernam (Selangor). 

Kata Johari, produk Serai Malaya boleh didapati di rangkaian pasar raya utama di samping berhasrat meluaskan pasarannya ke peringkat antarabangsa.

“Usaha itu dapat dicapai melalui penyertaan dalam ekspo dan kolaborasi dengan pelbagai agensi.

“Fokus kami adalah untuk memperkenalkan produk warisan Malaysia ke mata dunia dan dalam tempoh tiga tahun lagi, sasarannya adalah untuk menembusi ke lebih 28 buah negara, terutama di Asia Tenggara, Asia Barat dan Eropah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN