KEMAMAN: Lagi penyu agar ditemukan mati. Kali ini melibatkan kematian seekor penyu agar betina yang bangkainya djumpai di Pantai Penunjuk Kijal, di sini, semalam.
Bangkai reptilia marin itu ditemukan seorang peniaga kek, Wan Shafirool Wan Salahuddin, 32, kira-kira pukul 4.30 petangf ketika mahu memulakan perniagaannya di pantai berkenaan.
Katanya, pada awalnya dia menyangkakan objek yang terapung-apung dipukul ombak itu kayu yang hanyut.
“Mula-mula saya tengok objek terapung-apung dipukul ombak, saya sangkakan kayu. Namun, bila objek tersebut mula terdampar, saya dekati dan terkejut melihat ia seekor penyu.
“Saya memang fikir penyu itu sudah mati sebab pernah jumpa penyu hidup sebelum ini ketika memancing di laut. Penyu yang hidup tak terapung lama di air seperti yang saya jumpa kali ini, sebab itu saya tahu dia mati,” katanya ketika ditemui hari ini.
Wan Shafirool berkata, penyu dengan anggaran berat antara 100 hingga 130 kilogram itu mungkin mati beberapa hari lalu sebelum dihanyutkan ke pantai itu.
“Terdapat kesan kecederaan di bahagian kaki penyu itu dan mata penyu itu pun sudah terkeluar. Saiz penyu ini dah besar, sayanglah haiwan yang dilindungi ini mati dengan saiz besar begini. Bukan senang kita nak jumpa penyu bersaiz besar,” katanya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Pang Nyukang berkata, bangkai penyu itu mungkin merupakan penyu yang sama ditemukan mati di Pantai Awana Kijal, petang semalam.
“Pemajak menjumpai penyu yang telah mati kira-kira pukul 2.30 petang semalam dan ketika itu penyu tersebut masih berada dalam air.
“Mungkin bangkai penyu itu kemudian hanyut ke Pantai Penunjuk memandangkan pantai itu dekat. Saya telah meminta pegawai perikanan daerah membuat siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN