MELAKA: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menyebabkan bayi dalam kandungannya yang berusia lima bulan meninggal dunia sebelum dilahirkan, minggu lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Norazzeti Azima Awang Long, 21, sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengambil ubat misoprostol sebelum kelahiran bayi dengan niat untuk menghalang kelahiran bayi tersebut daripada dilahirkan dalam keadaan hidup.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam dalam bilik di sebuah rumah bernombor di Imperio Residence Tower A dalam daerah Melaka Tengah pada 12 Mei 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, wanita itu mendapatkan rawatan di Hospital Melaka kerana mengalami bengkak susu dan mendakwa dia mengalami keguguran.
Bagaimanapun, tertuduh yang masih bujang kemudian mengaku mengambil ubat menggugurkan kandungan berharga RM600 yang dibeli melalui dalam talian (online) pada 12 Mei lalu dan menyerahkan janin tersebut kepada rakannya untuk ditanam.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan hukuman pemenjaraan yang setimpal dengan mengambil kira isu-isu sosial yang berleluasa ketika ini.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu hukuman penjara dan denda minimum dengan alasan anak guamnya bekerja di sebuah kafe dengan pendapatan RM1,800 sebulan dan menanggung bapa yang berusia 76 tahun dan tiga adiknya yang masih bersekolah.
Katanya, tertuduh bertindak menggugurkan kandungannya yang berusia lima bulan selepas didesak teman lelakinya berulang kali.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan bermula dari tarikh ditangkap pada 19 Mei 2025. – UTUSAN