KUALA LUMPUR: Pelakon, Tony Eusoff, tidak putus asa mengemukakan rayuan kepada pihak imigresen Singapura selepas namanya diharamkan masuk ke negara itu seumur hidup.
Tony atau Anthony Joseph Hermas Rajiman, 48, diarahkan berbuat demikian selepas terpalit dengan kes penyalahgunaan dadah pada 2016 selain menerima hukuman lapan bulan penjara.
“Sebenarnya saya dilarang untuk masuk ke Singapura sampai hari ini sejak kes saya dulu itu.
“Bagaimanapun, saya boleh kemukakan rayuan selepas dua tahuan dibebaskan.
“Saya sudah ‘appeal’ tiga atau empat kali secara dalam talian menerui lawam web imigresen di sana, tapi tak dapat apa-apa respon dan masih tak boleh masuk,” katanya.
Tony ditemui Utusan Malaysia di majis tayangan perdana filem terbaharu Mencari Ramlee di GSC Midvalley Megamall, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Tony bersyukur walaupun tidak boleh menjejakkan kaki ke negara seberang tambak itu, namun dia masih menerima tawaran berlakon daripada produksi stesen televisyen di sana.
Lebih mengharukan, produksi asal Singapura itu mahu membina set penggambaran di Malaysia demi mendapatkan khidmat lakonan pelakon asal Sarawak itu.
“Disebabkan saya tak boleh nak masuk Singapura, mereka bawa produksi dan buat set di Malaysia supaya saya boleh jalani penggambaran.
“Saya pun tak tahu kenapa layak untuk dapat khidmat sebegitu. Selepas itu, saya lagi pelik bila dicalonkan dalam satu anugerah di sana menerusi watak yang saya bawa itu.
“Pada anugerah itu juga saya menang gangsa, saya macam tak percaya. Ini adalah satu perkara ironi kerana negara yang larang saya untuk masuk itulah yang calonkan saya untuk anugerah mereka,” katanya.
Bukan itu sahaja, walaupun sudah hampir sedekad larangan dibuat, namun peminatnya daripada Singapura sanggup terbang ke Malaysia demi menyaksikan lakonan dan projek terbaharu Tony Eusoff.
“Ramai peminat dari Singapura yang mesej di media sosial yang memberi sokongan menggalakkan. Itu buatkan saya terharu, kalau di Singapura itu masih lagi ada peminat.
“Rindu ada juga yang cakap, tapi mereka kata dapat mengubatinya selepas dapat menonton cerita kita. Cerita kita sekarang sudah ada masuk Netflix dan sebagainya.
“Ada juga yang datang menyaksikan teater atau persembahan saya di Kuala Lumpur,” katanya. -UTUSAN