Digitalisasi sekolah dalam kem perkasa pendidikan anak tentera

Digitalisasi sekolah dalam kem perkasa pendidikan anak tentera

ADLY Zahari (tengah) menyerahkan replika cek kepada pentadbiran SK TUDM Subang bagi pelaksanaan inisiatif digitalisasi makmal pembelajaran Green Lab dan Affin Digital Space, di sini hari ini. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG: Kementerian Pertahanan komited memperkukuh sistem pendidikan anak-anak anggota tentera menerusi inisiatif digitalisasi sekolah dalam kem. 

Inisiatif tersebut selaras dengan agenda nasional yang menjadi teras kepada pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) masa kini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program digitalisasi itu direalisasikan melalui kerjasama strategik bersama Affin Bank menerusi penubuhan Green Lab dan Affin Digital Space di tiga buah sekolah dalam kawasan kem tentera, tahun ini.

Menurut beliau, Sekolah Kebangsaan (SK) TUDM Subang merupakan lokasi kedua pelaksanaan selepas SK Kementah dan bakal disusuli SK Sultan Sir Ibrahim di Kluang, Johor, dengan kos keseluruhan berjumlah RM94,000 yang ditaja sepenuhnya oleh Affin Bank.

“Tumpuan diberikan kepada sekolah-sekolah dalam kem kerana majoriti muridnya terdiri daripada anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

“Usaha ini bukan sahaja membina bakat digital pelajar, malah membantu menggilap potensi mereka dalam bidang teknologi seiring keperluan ekonomi digital negara. 

“Inisiatif ini turut menyokong Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2023 serta menyahut pelan strategik Fokus 4: Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem di SK TUDM Subang, di sini hari ini.

Tambah Adly, pembinaan studio digital berkenaan mengambil masa setahun, merangkumi pembangunan infrastruktur, penyediaan sistem pentadbiran serta latihan kepada guru dan pelajar.

“Kita mulakan dengan tiga sekolah dahulu sebagai projek rintis dan akan menilai keberkesanannya sebelum diperluaskan ke 27 sekolah lain dalam kem tentera di seluruh negara.

“Matlamat utama ialah memastikan sekolah-sekolah ini tidak terpinggir daripada arus transformasi pendidikan digital negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya