Dicekup selepas tiga jam samun kedai serbaneka

Dicekup selepas tiga jam samun kedai serbaneka

Samun
SUSPEK menyamun sebuah kedai serbaneka dekat Bandar Botanik, di Klang, Selangor, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tindakan seorang lelaki menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam mengundang padah apabila ditahan polis hanya tiga jam selepas melakukan jenayah itu dekat Bandar Botanik, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima aduan daripada pekerja premis itu, kira-kira pukul 5.35 petang daripada pengadu yang memaklumkan suspek lelaki berusia 37 tahun itu melakukan samun dengan membawa pemutar skru serta menghentak meja kaunter.

“Suspek warga tempatan itu mengugut dan memaksa mangsa menyerahkan semua wang di mesin juruwang, mangsa yang ketakutan itu akur. Nilai kerugian ditanggung dianggarkan berjumlah RM3,000,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurut Ramli, hasil maklumat dan risikan membawa kepada penahanan suspek di Taman Andalas, kira-kira pukul 8.25 malam hari sama.

“Semakan mendapati lelaki yang tiada pekerjaan lain itu mempunyai enam rekod jenayah lampau dan tiga rekod dadah. Polis turut merampas peralatan, kenderaan dan pakai yang digunakan suspek bagi tindakan lanjut,” ujarnya.

Tambah beliau, menerusi tangkapan tersebut pihaknya berjaya menyelesaikan empat kes lain melibatkan suspek yang menggunakan modus operandi sama di sekitar Klang Selatan.

“Suspek sedang direman selama lima hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan. Kes diklasifikasian mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu samun menggunakan senjata,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN