PETALING JAYA: Disuruh mencari lelaki kaya, pelakon, Diana Danielle tenang menolak cadangan seorang netizen kerana mampu meraih hidup mewah melalui hasil titik peluh sendiri.
Menurut Diana, ada sahaja kaum lelaki yang suka menumpang kesenangan kaum wanita demi keuntungan diri.
“Nak cari duit, kerja. Kalau aku nak tangkap laki kaya dah lama dah dik. Sekarang yang kaya aku.
“Lelaki pun ramai saja yang bergantung kat perempuan,” katanya membalas komen netizen.
Diana berkata demikian bagi menyelar tindakan seorang pengguna media sosial yang mencadangkan aktres itu untuk mencari lelaki kaya.
“Nak cari duit, tangkap lelaki kaya,” komen individu terbabit.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminatnya bersetuju dengan respons yang diberikan oleh pelakon filem Imaginur tersebut selain mengecam kembali tindakan individu berkenaan.
“Betul sangat. Yang berlaki pun banyak isteri yang tanggung dan semua kena kongsi untuk membayar,” kata seorang netizen.
“Betul itu bukan semua orang seperti itu. Nak harapkn kekayaan orang untuk menumpang. Zaman sekarang sudah ramai yang berkerjaya dan berjaya,” komen seorang lagi netizen.
Terdahulu, Diana pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Farid Kamil pada 3 November 2012 namun bercerai pada 24 Mac lalu.
Hasil perkahwinan tersebut, Diana dan Farid dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10. – UTUSAN