PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus memperkukuh langkah strategik bagi menangani cabaran penyakit Demam Babi Afrika (ASF) serta memastikan bekalan daging babi tempatan kembali stabil dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kekurangan bekalan daging babi yang berlaku susulan penutupan beberapa ladang ternakan di Selangor baru-baru ini akibat penularan ASF.
Katanya, situasi itu bukan sahaja memberi kesan besar terhadap penternak malah turut menyumbang kepada peningkatan harga daging babi segar tempatan sekali gus menjejaskan pengguna.
“Sebagai langkah segera, satu mesyuarat telah diadakan bersama Gabungan Persatuan Pedagang Daging Babi di mana persatuan menyuarakan hasrat untuk mengimport daging babi dari Thailand, Brazil dan China bagi menampung kekurangan bekalan semasa.
“Justeru itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan meneliti cadangan tersebut. Untuk makluman pada masa kini, Malaysia boleh terus mengimport daging babi dari banyak negara Eropah, Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom.
“Sehubungan itu, para pengimport disarankan supaya mengutamakan negara-negara ini terlebih dahulu bagi mempercepatkan kemasukan bekalan baharu ke pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, kementerian juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengkaji cadangan pengenaan kawalan harga daging babi seperti yang dikemukakan oleh pihak persatuan.
Justeru itu, penelitian menyeluruh diperlukan kerana penetapan harga tertakluk di bawah peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
“Lazimnya, kawalan harga babi hanya dilaksanakan ketika musim perayaan berikutan permintaan yang tinggi.
“Sebagai pelan jangka panjang dalam menangani isu ASF, KPKM menyeru semua pemain industri babi agar mentransformasi ladang masing-masing kepada sistem Modern Pig Farming (MPF) yang terbukti bebas penyakit.
“Kami juga mengalu-alukan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Perak dan Sabah dalam pelaksanaan MPF termasuk inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak dan Negeri Sembilan yang telah melaksanakan pengezonan kawasan Pig Farming Area (PFA) khas untuk penternakan babi,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan MPF dan PFA bukan sahaja memperkukuh tahap biosekuriti ladang bahkan selaras dengan matlamat meningkatkan daya saing industri ternakan babi tempatan.
“Memahami bahawa transformasi ini memerlukan pelaburan besar, KPKM komited untuk memudah cara pelaksanaannya bersama pihak berkepentingan dan akan mengadakan sesi libat urus dalam masa terdekat.
“KPKM optimis bahawa pelaksanaan menyeluruh langkah-langkah yang dirancang ini mampu menstabilkan semula bekalan daging babi sekali gus merealisasikan sasaran Kadar Sara Diri (SSL) 90 peratus bagi daging babi tempatan menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN