Definisi kedaulatan nasional perlu disemak semula hadapi AI

Definisi kedaulatan nasional perlu disemak semula hadapi AI

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Definisi kedaulatan nasional perlu disemak semula untuk menghadapi perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin menyeluruh dalam pentadbiran dan kehidupan harian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia tidak lagi boleh berfikir mengenai kedaulatan mengikut fahaman lama, jika mahu menerima AI kerana teknologi baharu itu menuntut perubahan paradigma.

Katanya, Malaysia telah mengambil langkah ke hadapan dengan memperkenalkan perundangan baharu bagi menyesuaikan prinsip kedaulatan dalam dunia digital termasuk membenarkan operasi awan (cloud) yang berfungsi merentas sempadan undang-undang konvensional.

“AI kini sangat menyeluruh dan meresap ke dalam setiap aspek tadbir urus dan kehidupan harian. Sebagai pemimpin, kita tiada pilihan selain memahami dan menguasai teknologi ini.

“Ia sama seperti kita memberi kekebalan kepada kedutaan asing, kita kini membenarkan ruang digital beroperasi secara bebas dalam kerangka perlindungan keselamatan sempadan,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025 di sini, hari ini.

Sesi forum itu turut disertai Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan G42, Peng Xiao.

Ia dikendalikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tambah Perdana Menteri, teknologi seperti AI tidak boleh ditangani daripada sudut nasional atau di peringkat serantau sahaja.

Merujuk kepada inisiatif Malaysia bersama ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang kini berkembang menjadi kerjasama strategik lebih mendalam merangkumi pelaburan, perdagangan dan teknologi baharu, Anwar berkata, semua pihak sedang berurusan dengan teknologi baharu yang bersifat global.

“Maka tindak balas kita juga perlu global. GCC memainkan peranan penting. Bermula dengan inisiatif di Arab Saudi, kita perluaskan perbincangan bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan negara-negara lain. Ia bukan sekadar simbolik, kita bincang serius soal tadbir urus digital, pelaburan dan teknologi,” katanya.

Anwar berkata, walaupun Malaysia terus memperkukuh kerjasama dengan China dan rantau Teluk, Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai pelabur terbesar negara.

“AS masih pelabur nombor satu Malaysia, dan 60 peratus eksport komponen elektrik dan elektronik (E&E) kita ke sana. Strategi kita mesti global, tidak boleh dikawal hanya oleh kepentingan nasional atau serantau semata-mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN