PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan penggodam menuntut wang tebusan sebanyak AS$55 juta atau RM236.17 juta, susulan gangguan membabitkan beberapa sistem perkhidmatan dalam talian, baru-baru ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata, gangguan itu berlaku, namun tiada tuntutan wang seperti didakwa.
“Betul ada gangguan pada sistem tetapi tidak ada meminta wang atau tebusan daripada sesiapa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai mendakwa, sistem dalam talian milik DBKL telah digodam dengan pihak terlibat menuntut wang tebusan sebanyak AS$55 juta daripada DBKL.
Maimunah berkata, gangguan itu menjejaskan capaian dan penggunaan sistem oleh orang awam.
“Sejak 1 Mei 2025, sistem-sistem ini telah mula menunjukkan pemulihan secara berperingkat. Kami menjangkakan akses penuh kepada e-Lesson, e-Perumahan, ADU@KL, Tempah@KL dan sistem IPIT dapat dipulihkan sepenuhnya menjelang 20 Mei,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya tidak menerima laporan berhubung kejadian itu setakat ini. – UTUSAN