PETALING JAYA: Sebanyak enam notis kompaun dikeluarkan, membabitkan pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu ke atas dua tapak bina di sekitar Wangsa Maju dekat sini kelmarin.
Operasi bersepadu dijalankan pada 13 Mei kelmarin oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan turut dibantu agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Perbadanan Sister Pengurusan Sistem Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp).
DBKL dalam satu kenyataan berkata, arahan penutupan operasi turut dikenakan terhadap dua tapak pembinaan tersebut selepas pemeriksaan mendapati mendapati kontraktor gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Kompaun yang telah kami keluarkan adalah mengikut peruntukan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994.
“Pemantauan dan pemeriksaan berkala akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tapak pembinaan kekal selamat serta tidak mencemarkan alam sekitar,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, langkah penguatkuasaan ini dilihat penting dalam usaha kerajaan bandar menjadikan Kuala Lumpur lebih bersih, selamat dan teratur seiring matlamat pembangunan mampan negara.
“Operasi bersepadu seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa demi membanteras daripada berlakunya pelanggaran peraturan dalam industri pembinaan,” ujarnya. – UTUSAN