PETALING JAYA: Pelakon dan penyampai radio, Datuk Fizz Fairuz mengakui sikap pendatang baru berbeza dengan anak seni yang berpengalaman dalam dunia hiburan.
Kongsi Fizz atau nama sebenarnya Fairuz Zainal Abidin, cara generasi kini menghormati kru di set penggambaran sangat lain dengan zaman berlakonnya yang bermula sejak 2004.
“Pada saya, kalau hendak dibandingkan dahulu dan sekarang, daripada segi disiplin dan cara memang jauh berbeza.
“Dahulu hendak sampai lambat, kita sangat takut. Saya ada pengalaman nampak pengarah baling skrip dan terkena muka pelakon,” katanya.
Fizz berkongsi perkara tersebut menerusi sebuah sesi temubual bersama pengacara, Nana Mahazan.
Sementara itu, turut hadir ke sesi temu bual yang sama, aktor Fauzi Nawawi bersetuju dengan pernyataan tersebut.
“Artis sekarang ini kalau mereka lambat, buat macam tidak kisah. Perkara ini berlaku pada saya baru-baru ini.
“Saya tunggu dia lebih kurang tiga jam lebih, lepas itu dia datang dengan muka tidak bersalah,” ujarnya.
Tambah Fauzi, peluang kerja yang terlalu banyak pada zaman sekarang menjadikan punca utama segelintir pendatang baru kurang beradab.
“Zaman kita dulu peluang kerja tidak banyak, jadi bila dapat kerja kita jaga betul-betul.
“Tapi sekarang, terlampau banyak sumber pendapatan. Kalau tiada kerja dengan produksi, mereka boleh jana pendapatan daripada siaran langsung media sosia.
“Sekali review boleh dapat RM2,000 ke RM3,000. Sebab itu mereka tiada hormat,” katanya.
Tambah kedua-dua aktor itu, adab merupakan prinsip yang perlu ada dalam diri untuk kekal relevan dalam dunia seni.-UTUSAN