LUMUT: Tiga anggota sindiket pengedaran dadah termasuk pasangan kekasih, didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini, atas enam tuduhan mengedar dan memiliki dadah seberat 27.4 kilogram (kg) ketika ditahan awal bulan ini.
Ling Ai Kok, 28, dan kekasihnya, wanita warga Vietnam, Nguyen Thi Men, 24, dituduh mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 15.3 kg.
Kedua-duanya didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik No 3, Rumah No 79, Simpang Tiga, Sitiawan, kira-kira pukul 7.30 malam pada 5 Mei lalu.
Mereka dituduh di bawah Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup beserta disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh turut didakwa mengedar dadah MDMA seberat 237 gram di tempat, masa dan tarikh sama, serta dikenakan tuduhan yang sama.
Ling Ai Kok juga didakwa mengedar dadah MDMA seberat 11.4 kg di No 192, Persiaran Venice Raya 7, Desa Manjung Raya, dekat sini, kira-kira pukul 10.30 malam 5 Mei lalu dan turut dikenakan tuduhan sama.
Kedua-duanya mengaku memahami pertuduhan tersebut ketika dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid.
Tiada pengakuan direkodkan dan tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.
Dalam pada itu, Ling Ai Kok mengaku salah memiliki dadah jenis Ketamin seberat 299 gram di No 192, Persiaran Venice Raya 7, Desa Manjung Raya, dekat sini, kira-kira pukul 10.30 malam 5 Mei lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Seorang lagi anggota sindiket itu, Cheah Bok Hua, 49, mengaku bersalah memiliki dadah jenis Ketamin seberat 114 gram dan dadah jenis Nimetazepam seberat 13 gram.
Dia didakwa melakukan dua kesalahan itu di rumah unit A-12-1 di The Venus Residence, Pangsapuri Sejati, Taman Sejati, Sitiawan, pada pukul 8.55 malam 5 Mei lalu dan turut dituduh di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952.
Majistret Fakhrul Razzie menetapkan semua kes itu disebut semula pada 18 Ogos ini untuk mendapatkan laporan kimia serta jurubahasa Vietnam.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Hairol Jemain manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan tiga termasuk pasangan kekasih ditahan bersama 27.4 kg dadah bernilai RM4.6 juta dalam serbuan berasingan di Sitiawan dan Lumut. – UTUSAN