Dadah bertaburan atas jalan, tokan maut kemalangan

Dadah bertaburan atas jalan, tokan maut kemalangan

LOKASI nahas membabitkan seorang penunggang motosikal yang dipercayai pengedar dadah di Lebuh AMJ, Paya Rumput, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Situasi di lokasi kemalangan maut membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun kecoh apabila bungkusan plastik dipercayai dadah ditemui bertaburan berhampiran motosikal ditunggangnya di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Paya Rumput di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis menerima laporan pada pukul 7.54 pagi dan kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 48 tahun.

“Pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah lori dipandu lelaki 44 tahun yang turut berada di laluan sama.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya.

Tambah Dzulkhairi, pemeriksaan menemukan sebanyak 450 peket heroin seberat 688.81 gram dan 12 peket methamphetamine seberat 13.41 gram berhampiran motosikal mangsa.

“Kita percayai si mati terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah berdasarkan jumlah bekalan tersebut.

“Si mati tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan dadah atau jenayah, jadi kita tidak menolak kemungkinan dia baharu sahaja melakukan kegiatan itu,” ujarnya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN