PETALING JAYA: Pempengaruh, Marissa Dania, terkilan kerana hanya dirinya sahaja yang mahu menyelesaikan segala konflik secara peribadi.
Anak kepada pelakon, Abby Abadi, itu sempat menunjukkan bukti tangkap layar hantaran mesej yang dipercayai ditujukan kepada madunya, Umisya Mazlan bagi menjernihkan salah faham.
Marissa dipercayai melakukan demikian susulan komennya mengenai Aslam dan isteri pertama di TikTok mencetuskan spekulasi.
“Saya nak cakap tentang diri sendiri pun jarang sekali, inikan pula nak bercakap tentang orang lain.
“Saya sudah jelaskan kepadanya dengan jelas bagi elak salah faham dan konflik.
“Ya, whatsapp tak pernah disekat. Instagram dan TikTok (disekat) hanya untuk jaga emosi sendiri dan kehidupan masing-masing,” tulisnya menerusi hantaran Instagram Story pada Jumaat.
Bukan itu sahaja, Marissa tidak pernah lari dari masalah sebaliknya akan menghubungi mana-mana individu terlibat untuk menyelesaikan isu di luar media sosial.
Malah, dia turut berharap agar tiada lagi pihak yang memperbesarkan isu peribadi di khalayak umum.
“Saya tidak pernah selesaikan semuanya secara terbuka sebab itu orang tidak tahu.
“Inilah cara yang saya pilih untuk berhadapan dengan semua masalah tidak kira dengan sesiapapun.
“Tapi cuma saya sahaja yang mahu selesaikan semua ini secara privasi. Saya okay dengannya.
“Tapi jangan buat orranh lain pula yang salah faham sampai membenci,” tulisnya.
Sebelum ini, seorang pengguna media sosial sengaja membuat provokasi kepada Marissa dengan mengatakan Aslam tidak senang duduk selepas media sosialnya disekat isteri pertama.
Marissa kemudian membalas komen itu dengan menulis ‘Awak jangan tunjuk sangat senang digula-gulakan’ namun sudah dipadam serta merta.
Umisya bagaimanapun berkongsi tangkap layar komen Marissa itu di Instagram miliknya sekali gus meraih perhatian ramai.
Marissa kemudian menegaskan komen tersebut tidak ditujukan bagi tujuan menyindir perkahwinan suaminya, Aslam dan Umisya. -UTUSAN