TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan aktiviti menyeludup satu tan metrik beras putih dari Siam selepas menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi di Kampung Jubakar Simpangan,di sini semalam.
Rampasan dijalankan kira-kira pukul 8 pagi semasa anggota PGA menjalankan tugas menerusi Op Taring Wawasan di kampung tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan itu menjumpai sebanyak 1,000 kilogram (kg) beras putih dan 216 kg beras pulut yang disyaki diseludup melalui pangkalan haram.
Katanya, pemandu kenderaan itu yang berusia 34 tahun ditahan untuk membantu siasatan kes tersebut.
“Nilai keseluruhan barang rampasan berkenaan dianggarkan bernilai RM6,800 dan barang rampasan berkenaan dibawa ke Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya hari ini. – UTUSAN