SEREMBAN: Seorang cikgu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang murid lelaki berusia 11 tahun, dua tahun lalu.
Tertuduh, Abdul Halim Ismail, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hazeelia Muhammad.
Pihak pendakwa memaklumkan, tertuduh turut berdepan pertuduhan amang seksual terhadap mangsa sama di Mahkamah Sesyen di Raub, Pahang, Perak dan Melaka sejak 2023.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan memeluk badan dan menggosok kemaluan mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ketika kejadian.
Kedua-dua kesalahan dilakukan kira-kira pukul 10 malam di sebuah hotel di Port Dickson pada 28 dan 29 Jun 2023.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak 2017 (Akta 792) dan dibaca bersama di bawah Seksyen 16(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Norazihah turut memaklumkan tertuduh berdepan pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak sama di Mahkamah Sesyen di Raub, Pahang, Perak dan Melaka sejak 2023.
Peguam, Aliff Aiman Rusli yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi dua pertuduhan tersebut.
Menurut Aliff, anak guamnya belum berumah tangga dan seorang penjawat awam, namun telah digantung tugas dan tidak mempunyai pendapatan sejak 2023.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan, menyerahkan pasport serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan
Mahkamah menetapkan 9 Jun depan tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN