SEREMBAN: Kecekalan dua beradik menghadapi cabaran belajar termasuk terpaksa berkongsi bilik kecil semasa tempoh pandemik terbalas apabila masing-masing menerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan.
Farrah Noor Adeleen Zahari, 28, dan adiknya, Farrah Noor Hannanie, 27, masing-masing memperoleh keputusan cemerlang dalam pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Farrah Noor Adeleen menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sistem Maklumat Pengkomputeran Perniagaan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.56 manakala Farrah Noor Hannanie berjaya meraih CGPA 3.81 dalam Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Dalaman.
Adelene memberitahu, mereka terpaksa mengikuti pengajian secara dalam talian dari rumah dan berkongsi ruang belajar yang terhad sepanjang tempoh pandemik.
“Kami berdua mengikuti kelas secara dalam talian dari rumah dan perlu berkongsi ruang belajar yang sama. Walaupun ada sedikit cabaran namun dengan toleransi kami dapat menyesuaikan diri serta menyempurnakan setiap tugasan yang diberikan,” katanya.
Hannanie pula mengakui pembelajaran dalam talian menuntut disiplin tinggi dan memerlukan fokus penuh bagi memastikan kejayaan.
Kedua-dua mereka adalah antara 170 penerima anugerah yang menerima insentif sebanyak RM5,000 seorang daripada kerajaan negeri menerusi Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dalam Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan Bilangan 1/2025 yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM850,000 bagi inisiatif kecemerlangan pada hari ini selain bantuan peranti, komputer riba dan insentif galakan untuk pelajar cemerlang di pelbagai peringkat. – UTUSAN