PUTRAJAYA: Peranan dan pengorbanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjaga keamanan negara harus disebar luas terutama kepada golongan muda dan pelajar-pelajar sekolah demi menghargai jasa pasukan keselamatan itu.
Dalam inisiatif ini, sebuah buku berjudul PDRM: Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan Dalam Mengekalkan Keamanan Negara diedarkan kepada sekolah-sekolah sebagai medium penting dalam menyemai semangat patriotisme dan memperkukuh kefahaman tentang keselamatan negara.
Penerbitan buku berkenaan hasil kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), PDRM dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Aniza Kamarulzaman berkata, melalui buku ini, generasi muda khususnya pelajar akan dapat menghargai peranan PDRM sebagai pasukan keselamatan yang menjadi benteng keamanan negara.
“Sebagai penjaga keamanan negara yang berkhidmat lebih dua abad, pasukan PDRM bertugas dengan penuh dedikasi tanpa mengira penat lelah mahupun kepentingan peribadi.
“Buku seperti terbitan PDRM ini bukan sahaja catatan sejarah, malah menjadi cerminan kepada semangat, pengorbanan dan nilai perjuangan yang wajar diteladani,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan buku itu ke sekolah-sekolah dan Kempen Galakan Membaca Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2025 di sini, semalam.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Khas Buku Negara kepada dua tokoh berwibawa iaitu Datuk Kamarudin Md. Ali menerusi buku An Engineer in the House-The Man Behind 1000 days Policing of Reformasi in Kuala Lumpur 1998-2001 serta Datu Khirudin Drahman @ Hussaini melalui karya The Man Behind The Fire Prevention Programs in Sarawak-Innovative Fire Prevention Methodology for The State of Sarawak Safeguarding Our Nature of Herritage.
Berkongsi pandangan, Kamarudin berkata, buku merupakan sumber ilmu yang menyebarkan informasi berguna dan mampu membangkitkan semangat patriotisme serta kecintaan terhadap tanah air.
“Penerbitan buku seperti ini adalah satu pencapaian besar dalam misi memartabatkan penulisan sejarah negara,” katanya.
Sementara itu, Datu Khirudin pula menyifatkan buku sebagai gerbang ilmu yang membuka cakrawala pemikiran masyarakat.
“Buku adalah cahaya. Dan cahaya ini perlu menyinari segenap pelosok agar rakyat dapat menyuluh jalan kehidupan mereka dengan ilmu dan kefahaman,” jelas beliau.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pembaca Bestari untuk kategori sekolah rendah dan menengah bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta Anugerah Perpustakaan Mini Murid peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya. – UTUSAN