PETALING JAYA: Usaha demi usaha telah dilakukan, pelakon, Siti Elizad Sharifuddin mengakui dirinya kini sudah di fasa reda untuk memikirkan soal zuriat.
Pernah dicadangkan untuk mengambil anak angkat, Elizad, 41, berkata dia tidak mahu menghampakan harapan bapanya, Mohd Sharifuddin Baharuddin untuk melihatnya menimang cahaya mata sendiri.
“Bukan tidak mahu ambil anak angkat. Tetapi saya tidak mahu menghampakan harapan bapa saya. Dia anak sulung dan mengharapkan saya lahirkan zuriat sendiri. Adik-beradik dan saudara mara lain sudah mempunyai anak.
“Penglihatan bapa saya terjejas tetapi setiap pagi bapa saya akan hantar pesanan suara beritahu yang dia sudah doakan saya agar saya dikurniakan anak,” katanya.
Elizad berkongsi perkara itu menerusi sebuah sesi audio siar, Ruang Cerita yang dikendalikan oleh Faizal Ismail dan Nana Mahazan.
Tetap berusaha kerana enggan menghampakan harapan besar bapanya, Elizad juga pernah menjalani proses persenyawaan in-vitro (IVF) namun, gagal.
Elizad mengakui hatinya luluh untuk memberitahu bapanya bahawa proses IVF tersebut tidak berjaya kerana tidak mahu insan tercintanya itu bersedih.
“Saya buat IVF, selepas keluar dari hospital itu saya keluar bersama bapa pergi jalan. Sewaktu ambil pesanan makanan dia beritahu bahawa cucunya yang di dalam perut saya lapar.
“Sedangkan sewaktu itu saya diberitahu oleh doktor proses IVF itu gagal. Saya jadi menggeletar mahu bagitahu bapa saya bahawa bayi itu hilang kerana tidak mahu dia kecewa.
“Saya dapat merasa bayi itu sekejap saja. Saya sudah letak nama, beli baju dan sediakan kelengkapan bilik untuk anak itu. Saya selalu impikan ada anak yang ramai. Jadi apa yang saya buat saya beli katil dua tingkat.
“Mungkin Allah tengah uji saya dan mahu tengok tahap kesabaran saya. Sekarang saya dalam fasa reda. Jadi saya bagi semua kelengkapan yang saya sudah sediakan itu kepada orang atau kawan-kawan saya,” jelasnya.
Terdahulu, Elizad pernah menjalani rawatan IVF pertama pada Februari 2020 sebelum disahkan mengalami keguguran pada November tahun yang sama.
Pada Mac 2022, dia memaklumkan kembali menjalani rawatan IVF kali kedua dalam usaha mendapatkan cahaya mata.
Untuk info, Elizad mendirikan rumah tangga bersama suami, Shamsul Baharin Rahman pada 11 Januari 2015.-UTUSAN