PETALING JAYA: Pelakon, Bront Palarae berjaya merangkul kemenangan bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Baan Nang Klang Lakorn Ke-21, Thailand menerusi filem seram, The Cursed Land.
Menurut Bront, dia tidak menjangka dirinya mendapat pengiktirafan tersebut dalam industri perfileman Thailand sekali gus menjadi tanda aras baharu dalam kerjaya seninya.
“Alhamdulillah, berlakon dalam filem Thailand terasa seperti mimpi yang jauh. Apabila menerima anugerah ini, saya rasa macam tak percaya.
“Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dari Anugerah Baan Nang Klang Lakorn ke-21. Gila! Memang di luar jangkaan,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Dalam hantaran sama, Bront menitipkan ucapan kepada seluruh pasukan produksi The Cursed Land yang telah bekerja keras menjayakan naskhah berkenaan.
“Saya ucapkan terima kasih dari lubuk hati kepada pasukan The Cursed Land. Kerja keras anda semua menjadikan pencapaian ini satu realiti.
“Terima kasih juga kepada Panu Aree, Kong Rithdee, Nonzee Nimibutr, Chankit dan Suraphi yang sentiasa sabar dan memberi sokongan penuh sepanjang penggambaran,” ujarnya.
Bront bagaimanapun menyifatkan penglibatannya menerusi filem tersebut sebagai pengalaman berharga buat dirinya apatah lagi dapat bergandingan dengan barisan pelakon hebat dari negara itu.
“Berpeluang berkongsi layar bersama Ananda Everingham, Jennis, mendiang Sida Puapimon dan dua pelakon Melayu, Han Zalini serta Firdaus Karim adalah sesuatu yang tidak akan saya lupakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, aktor tersebut juga berharap agar kisah masyarakat Melayu di wilayah selatan Thailand lebih banyak mendapat ruang dalam industri perfileman negara itu.
“Saya harap satu hari nanti, lebih banyak kisah tentang komuniti Melayu di wilayah selatan dapat diangkat ke layar. Mereka juga punya sejarah kaya yang wajar didengar dan diraikan,”luahnya.
Difahamkan, kemenangan tersebut turut menewaskan calon lain termasuk Benjamin Varney dan Bhumipat Thavornsiri menerusi filem In Youth We Trust, Wanarat Ratsameerat (Taklee Genesis), serta dua pelakon filem box office How to Make Millions Before Grandma Dies, Sanya Kunakorn dan Pongsatorn Jongwilas.
Filem The Cursed Land itu turut tercalon dalam tiga kategori lain iaitu Sinematografi Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Sebelum ini, Bront pernah meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2015.