IPOH: Khidmat Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digunakan bagi membawa keluar lelaki berusia 63 tahun yang mengalami kecederaan di bahu ketika aktiviti pendakian di Gunung Yong Belar, di sini hari ini.
Difahamkan, mangsa mendaki gunung yang terletak di sempadan Perak-Kelantan itu secara berkumpulan bersama dua rakan dan tiga malim gunung.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat berhubung keadaan mangsa yang mengalami kecederaan sendi bahu terkeluar itu diterima pada pukul 9.03 pagi.
Katanya, Unit Udara dari Pangkalan Udara Wilayah Utara di Bertam, Pulau Pinang segera dimaklumkan mengenai kejadian untuk operasi menyelamat.
“Sebuah pesawat jenis AW139 BMB 07 dari Bertam telah diterbangkan ke Gunung Yong Belar untuk membawa mangsa keluar dan terus ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).
“Sebuah ambulans Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) telah berada di lapangan terbang tersebut untuk menunggu mangsa bersama tiga pegawai,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, sebaik sahaja pesawat tersebut tiba di LTSAS pada pukul 10.04 pagi, mangsa segera dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Operasi tamat pada pukul 11.01 pagi. – UTUSAN