PETALING JAYA: Reda dengan ketentuan takdir, pelawak dan usahawan, Shuib memberi nama anak kelimanya sebagai Bintang.
Menurut Shuib, kehadiran roh kecil itu amat bermakna buat mereka sekeluarga terutamanya isterinya, Watie Hanifiah meskipun usia kandungannya tidak panjang.
“Simpan sini buat kenangan yang Dia pernah hadir dalam keluarga kami. Namanya Bintang ‘Anak Makkah’.
“Terima kasih di atas kehadiran walaupon hanya sekejap, tapi cukup bermakna dan indah buat kami sekeluarga lebih-lebih lagi Mummy, Watie Hanifiah,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Dalam hantaran sama, Shuib turut memuat naik video ketika Watie berkongsi khabar gembira bahawa dirinya sedang hamil sewaktu menunaikan ibadah umrah, pada April lalu.
Lebih menyentuh hati, pelawak itu turut menitipkan kata-kata semangat buat isterinya malah, berharap agar mereka sekeluarga dapat bertemu di syurga kelak.
“Insya-Allah, semoga jumpa di syurga. Daddy dan anak-anak sayang Mummy. Mummy dah buat yang terbaik.
“Susunan Allah lebih mengetahui. Semoga kita semua dikurniakan rahmat dan berkat dunia dan akhirat,” tulisnya di kapsyen.
Terdahulu, Watie meluahkan rasa hiba selepas mengesahkan dirinya telah mengalami keguguran, pada 11 Mei lalu.
Khabar duka itu sekali gus meleraikan tanda tanya dalam kalangan netizen yang mendakwa dirinya sedang berbadan dua kerana ternampak ‘baby bump’ pada perutnya, sejak beberapa bulan lalu.
Untuk info, Shuib dan Watie telah mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023.
Sebelum ini, Shuib berkahwin dengan Allahyarham Siti Sarah namun penyanyi berkenaan meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 13, Dzahira Talita Zahra, 11, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan,4.-UTUSAN