Bina lintasan khas haiwan elak gajah mati dilanggar - aktivis

Bina lintasan khas haiwan elak gajah mati dilanggar – aktivis

GAJAH betina berada berdekatan lori yang melanggar anaknya di Jalan Raya Timur-Barat di Gerik hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu kajian menyeluruh perlu dilaksanakan oleh Jabatan Perhilitan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi berkaitan untuk mengenal pasti kawasan berisiko tinggi atau tumpuan hidupan liar.  

Aktivis Keselamatan Jalan Raya, Datuk Mohammad Hisham Shafe berkata, kajian itu perlu disusuli dengan tindakan konkrit seperti pembinaan lintasan khas haiwan, pemasangan papan tanda amaran yang efektif dan penggunaan teknologi pemantauan yang lebih sistematik.

“Saya percaya insiden ini boleh dielakkan sekiranya terdapat pematuhan terhadap had laju, pemantauan berkesan dan pendekatan teknikal yang lebih responsif terhadap keadaan setempat. 

“Keselamatan jalan raya bukan hanya tentang melindungi nyawa manusia, tetapi juga tanggungjawab kita terhadap alam sekitar dan kelestarian hidupan liar,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau mengulas mengenai insiden seekor gajah betina ‘mengamuk’ dan merosakkan sebuah lori muatan ayam selepas anaknya mati dirempuh kenderaan berat itu di Kilometer 80, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kejadian sekitar pukul 2.50 pagi itu berlaku ketika kenderaan dipandu lelaki berusia 28 tahun itu dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan.

Selain itu, Mohammad Hisham berkata, keadaan jalan yang berkabus di kawasan-kawasan tertentu turut menjadi faktor yang perlu diberi perhatian serius. 

“Saya mencadangkan agar lampu khas anti-kabus dan sistem amaran visual dipasang di kawasan-kawasan sebegini bagi memaksimumkan jarak penglihatan pemandu dan mengurangkan risiko kemalangan.

“Saya menyeru agar insiden ini dijadikan titik tolak kepada perubahan dasar dan tindakan segera yang lebih holistik. Jangan biarkan tragedi ini berlalu tanpa sebarang pelajaran dan pembaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN