BUKIT JALIL : Peminat dikejutkan dengan kehadiran kumpulan Elite dan penyanyi, Pengiran Adam atau Adam AF yang tampil bersama-sama memeriahkan Konsert GenKRU di Axiata Arena, semalam.
Kehadiran mereka turut menamatkan teka-teki ramai sama ada KRU yang dianggotai oleh Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry dan Edry akan menjemput artis yang pernah bernaung di bawah KRU Records sebelum ini.
Muncul untuk menyanyikan lagu Terhangat Di Pasaran bersama KRU, Adam tampil dalam persalinan jaket serba hitam dan kelihatan bertenaga beraksi di pentas.
Lagu tersebut pernah mencipta populariti pada tahun 2005.
Usai penampilan Adam, pentas kemudiannya digamatkan dengan kemunculan Abby Abadi, Sasha Saidin, Watie Sadali, Azza Zawari dan Linda Rafar bagi melengkapkan KRU berduet lagu Di Pintu Syurga.
Penampilan mereka sekali gus ‘menerbangkan’ peminat dan penonton kembali ke momen nostalgia era 90-an ditemani dengan lagu-lagu hits KRU serta artis-artis yang pernah mendapat sentuhan lagu daripada ketiga-tiga mereka sebelum ini.
Kejutan buat peminat juga seakan tidak putus apabila Datuk AC Mizal pula membuat kemunculan khas secara visual di layar skrin untuk segmen selingan gimik berunsur jenaka, menghangatkan lagi suasana pada konsert itu.
Tidak cuma itu, KRU juga mewujudkan segmen tribute buat Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dengan menbawakan lagu hits nyanyian asalnya yang berjudul Perpisahan Terasing.
Terdahulu, seramai 9,000 penonton di Axiata pulang dengan senyuman puas setelah didendangkan dengan 20 buah lagu oleh KRU sempena konsert itu yang turut menjadi tanda aras 33 tahun kerjaya seni mereka dalam industri seni.
Antara lagu yang dibawakan oleh mereka termasuk Mengerti, Fanatik, Malam Kita, This is The Way We Jam, Untukmu, Balada Hati, Negatif, Apa Saja, Wanita, Bidadari, Oh La La dan Babe.
Konsert GenKRU akan diteruskan untuk hari kedua pada malam ini manakala hari ketiga pada 10 Mei nanti.-UTUSAN