KEMAMAN: Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan kira-kira RM 1.6 juta menerusi Biasiswa Terengganu Sejahtera bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian di University College (UC TATI), milik kerajaan negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, biasiswa melalui Yayasan Terengganu itu diperkenal selaras dengan hasrat kerajaan negeri bagi memastikan tiada anak-anak yang cemerlang yang tercicir untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana kekangan kewangan.
“Ini (biasiswa) satu langkah serius kerajaan bagi membantu anak-anak negeri yang berpotensi tetapi terhimpit masalah kewangan. Kita tak mahu ada anak Terengganu yang keciciran dalam pendidikan hanya kerana tidak mampu. Selagi ada ruang dan rezeki, kita akan bantu,” katanya pada Majlis Pelancaran Biasiswa Terengganu Sejahtera di Dewan Canselor UC TATI di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri tuurt melihat kemampuan kewangan negeri dan bersedia menambah jumlah peruntukan biasiswa itu sekiranya terdapat permintaan.
Menurutnya, biasiswa itu bukan hanya sekadar bantuan kewangan, sebaliknya satu bentuk pelaburan strategik jangka panjang dalam pembangunan modal insan negeri.
“Kita sedang mempersiap generasi pemimpin masa depan yang akan memacupembangunan ekonomi, sosial dan intelektual negeri kita. Saya berharap penerima biasiswa ini akan menggunakan peluang yang diberikan ini sebaik-baiknya, belajar dengan tekun dan kelak kembali berkhidmat untuk membangunkan negeri,” katanya.
Pada majlis tersebut, UC TATI turut memeterai sebanyak lapan Memorandum Perjanjian (MoA) dan Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama rakan strategik termasuk CyberSecurity Malaysia; Sekolah Tinggi Teknologi Warga Surakarta, Indonesia; Bank Islam, HalFinTech Sdn Bhd dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU). – UTUSAN