IPOH: Tiada lagi kegelisahan mencari wang saku untuk makan dan minum serta membiayai kos pendidikan antara kegembiraan yang dikongsikan oleh sekumpulan pelajar universiti yang menerima biasiswa Agrotek Perak SADC–Yayasan Perak.
Muhammad Amin Abdul Rahman, 22, dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) berkata, dia kini boleh meluangkan lebih banyak masa untuk belajar berbanding sebelum ini apabila turut berniaga tanaman pisang bagi mencari wang poket.
Penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Industri Pertanian (Tanaman Makanan) itu berkata, pemberian biasiswa tersebut sangat membantunya.
“Biasiswa ini penting kerana membantu meringankan beban keluarga saya untuk menanggung yuran pengajian. Selain itu, dapat memberi input yang lebih kepada saya bagi mencuba benda baharu dalam pendidikan,” katanya.
Biasiswa tersebut dijayakan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Yayasan Perak membabitkan peruntukan RM1 juta setahun yang telah memberi manfaat kepada seramai 65 pelajar dengan 22 daripadanya telah berjaya menamatkan pengajian.
Usaha tersebut selari dengan Flagship Kelima pelan Perak Sejahtera 2023 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat kepada rakyat Perak selain menepati komitmen kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk meningkatkan keterjaminan makanan negara.
Buat K. Sharveanthiran, 24, dari Taiping, penerimaan biasiswa membantunya mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) yang baik serta memberi semangat kepada mahasiswa dan pelajar dalam bidang pertanian.
Dia yang merupakan penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Agroteknologi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebelum ini berdepan kesukaran apabila wang lebihan untuk berbelanja amat sedikit setelah membuat pelbagai pembayaran.
“Selepas menerima biasiswa, baki wang yang saya ada bertambah sedikit. Baki wang itu saya gunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan makan, minum dan membolehkan saya fokus kepada pengajian,” katanya yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan.
Sementara itu, Lim Xiao Wei, 23, pula berkata, penerimaan biasiswa tersebut dapat mengurangkan beban ibu bapa dan membolehkan dia memberi tumpuan terhadap pengajian.
“Saya boleh fokus dengan pembelajaran saya tanpa perlu bimbang dengan keperluan duit untuk yuran pengajian. Elaun yang diterima juga banyak membantu dalam perbelanjaan harian di universiti, ringankan beban dan fokus kepada pelajaran.
“Pertanian sangat penting kerana kita mesti makan. Tanpa makanan kita tidak boleh hidup. Saya mahu menghasilkan produk-produk dan genetik pertanian yang lebih baik dan berdaya tahan,” kata pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) itu. – UTUSAN