Bersyukur dapat rumah transit selepas dihalau keluar

Bersyukur dapat rumah transit selepas dihalau keluar

RAHIMAH B. Karim (tengah) melihat salah seorang anaknya yang berstatus OKU terlantar di kediaman Rumah Transit Asnaf MAINJ di PPR Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal bersyukur apabila permohonannya untuk mendapatkan tempat tinggal tercapai selepas dihalau pemilik rumah sewanya, baru-baru ini.

Rahimah B. Karim, 50, dan dua anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) menyewa sebuah rumah di Taman Mount Austin dengan bayaran RM1,100 sebulan, namun pemilik menaikkan kadar sewa menjadi RM1,600 menyebabkan dia tidak mampu membayarnya.

“Saya mengambil upah memasak pelbagai jenis lauk sambil menjaga seorang anak OKU terlantar. Sewa rumah terdahulu sebanyak RM1,100 pun sukar untuk dikumpulkan, apatah lagi apabila dinaikkan menjadi RM1,600.

“Ketika itu saya pasrah dan sedia bawa anak-anak tinggal di bawah jambatan sekiranya perlu, tetapi alhamdulillah permohonan mendapatkan kediaman bantuan kerajaan diluluskan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Rumah Transit Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Tiram di sini, semalam.

Ibu kepada enam cahaya mata itu nekad melakukan yang terbaik bagi memastikan kesejahteraan keluarganya selepas bergelar ibu tunggal.

“Saya sangat bersyukur dibenarkan menetap di rumah transit ini, bukanlah kediaman percuma yang diharapkan tetapi tempat tinggal selesa untuk saya dan anak-anak. Alhamdulillah, saya berharap program ini akan dapat diteruskan pada masa depan bagi membolehkan lebih ramai individu kurang berkemampuan mendapat manfaat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima bantuan, Nor Izuddin Ramli, 36, berjanji akan menggunakan kesempatan menetap di Rumah Transit Asnaf MAINJ bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

“Sebelum ini saya bekerja dan menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan namun selepas diberhentikan kerja tahun lalu, saya bawa isteri dan anak-anak berpindah ke Johor Bahru bagi mendapatkan kerja.

“Kini saya bekerja di syarikat perkhidmatan pembersihan manakala isteri tidak bekerja untuk menjaga lima anak yang masih kecil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN