Berita palsu MyKiosk: KPKT akan lapor polis, MCMC

Berita palsu MyKiosk: KPKT akan lapor polis, MCMC

NGA Kor Ming merasmikan Majlis Pra Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) dan Anugerah Kecemerlangan Media (AKeMedia) 2025 di Putrajaya hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) susulan penyebaran beberapa berita palsu membabitkan projek MyKiosk@KPKT.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, beliau telah keluarkan arahan kepada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) untuk mencari individu yang menyebarkan berita palsu itu.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat aduan kepada MCMC bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Hari ini saya telah keluarkan arahan kepada JKT untuk mencari ‘tiktoker’ dan mereka yang sebar berita palsu itu.

“Bagi Seksyen 233 (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998), mereka yang disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM100,000.

“Kami sedang mengumpulkan segala video palsu itu untuk tindakan selanjutnya. Jika kamu mahu sebar berita palsu, silakan sebab kita pun akan ambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pra Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) dan Anugerah Kecemerlangan Media (AKeMedia) 2025, di sini hari ini.

Ditanya gesaan beberapa pihak supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk campur untuk menyiasat projek MyKiosk itu, Kor Ming berkata, beliau sedia memberi kerjasama berhubung perkara itu.

“Saya jemput Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) untuk datang ke pejabat minum teh,” katanya sambil berseloroh.

Mengulas lanjut dakwaan beberapa pihak bahawa KPKT melantik kontraktor sendiri bagi menyediakan gerai MyKiosk, Kor Ming berkata, perkara itu tidak benar kerana semua 795 kontraktor yang terlibat dalam pemasangan MyKiosk dilantik oleh 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Menurutnya, pihak kementerian hanya menyediakan peruntukan dan PBT akan menguruskan aspek lain seperti pemilihan kontraktor, lokasi dan peniaga.

Mengulas dakwaan kononnya kos satu gerai MyKiosk 2.0 lebih tinggi berbanding gerai MyKiosk 1.0, Kor Ming berkata, hal itu adalah wajar kerana gerai MyKiosk 2.0 telah ditambah baik.

“Kiosk 2.0 dilengkapi dengan kemudahan solar panel dan bateri yang lebih tahan lama, lampu LED, Ambient LED light, signage LED, portable bateri, rak mudah laras, kipas, tingkap hydraulic dan penebat haba bumbung.

“Lagi satu, mengenai kos RM25,000 untuk satu gerai MyKiosk 2.0, itu adalah harga siling yang KPKT tetapkan, jadi kontraktor perlu menawarkan harga yang lebih rendah daripada yang ditetapkan kementerian,” katanya.

Katanya, statistik terkini menunjukkan jumlah pengisian MyKiosk 1.0 adalah 87.74 peratus atau 2,798 unit telah disewa, manakala bagi MyKiosk 2.0 pula pengisian peniaga adalah 65.44 peratus atau 2,653 unit telah disewa.

Projek MyKiosk KPKT adalah inisiatif kementerian itu untuk membantu golongan B40 dan peniaga perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan ruang niaga yang seragam, selamat dan selesa.

Projek itu bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui penyediaan kios perniagaan dengan kadar sewaan yang rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN