GEORGE TOWN: Sepasukan anggota penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) menerima pengiktirafan antarabangsa di persidangan European Society for Radiotherapy and Oncology (ESTRO) 2025 yang berlangsung di Vienna, Austria, baru-baru ini.
Profesor Madya Dr. Gokula Kumar Appalanaido bersama pasukannya dianugerahkan ‘Top-Scoring Abstract Certificate’ iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada lima peratus teratas kertas penyelidikan terbaik di peringkat global.
Menurut jurucakap USM, kejayaan tersebut diraih menerusi kajian berinovasi bertajuk ‘Hybrid HDRIBT followed by IMRT (HyBIRT) technique for the definitive treatment of oral tongue SCC (OTSCC) first in human prospective study’ yang membentangkan mengenai pendekatan baharu dalam rawatan kanser lidah.
“Teknik HyBIRT yang dibangunkan adalah satu kaedah rawatan kombinasi antara ‘brachytherapy’ dan ‘radiotherapy’, yang membolehkan pesakit dirawat tanpa menjejaskan fungsi organ lidah secara signifikan.
“Penemuan tersebut bukan sahaja menunjukkan keberkesanan dari sudut klinikal, malah meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju dalam bidang onkologi,” katanya di sini, hari ini.
Jurucakap USM berkata, universiti tersebut melalui Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) menjadi antara institusi terawal di dunia yang melaksanakan kaedah ini dalam kajian manusia secara prospektif.
“Pusat itu juga diiktiraf sebagai salah satu pusat kecemerlangan dunia dalam rawatan ‘brachytherapy’ bagi kanser kepala dan leher oleh BrachyAcademy yang berpangkalan di Belanda.
“Pasukan penyelidik yang terlibat dalam kejayaan ini turut terdiri daripada Profesor Madya Dr. Yusri Musa (pakar bedah ENT), Dr. Ahmad Fakrurrozi Mohamad (pakar bedah OMF), Dr. Jasmin Jalil (pakar onkologi klinikal) serta Profesor Madya Dr. Mohd Zahri Abdul Aziz (pakar fizik perubatan),” katanya.
Tambah jurucakap tersebut, pengiktirafan yang diterima di ESTRO 2025 membuktikan keupayaan tinggi penyelidik tempatan dalam meneroka bidang rawatan kanser yang kompleks dan berteknologi tinggi.
“Ia turut memperkukuh komitmen USM dalam mendahului penyelidikan perubatan dan penjagaan kesihatan berimpak tinggi di peringkat global.
“Pencapaian ini menjadi kebanggaan negara kerana ia membuktikan bahawa Malaysia mampu memimpin perubahan dalam pendekatan rawatan kanser yang lebih berkesan dan berperikemanusiaan,” katanya. – UTUSAN