Belajar bahasa Russia dalam tiga bulan

Belajar bahasa Russia dalam tiga bulan

DR. Siti Khadijah Abdul Hamid memeriksa juruterbang pasukan aerobatik Russian Knights ketika LIMA’25 di Langkawi. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pakar perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tular kerana fasih berbahasa Russia memberitahu, beliau mempelajari asas bahasa itu hanya selama tiga bulan ketika melanjutkan pelajaran di Crimea selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Leftenan Kolonel Dr. Siti Khadijah Abdul Hamid mendapat biasiswa perubatan daripada ATM yang membawanya ke Simferopol, Crimea pada 2003.

Beliau kini bertugas sebagai pakar perubatan kecemasan di Institut Perubatan Penerbangan (IPP) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan ditugaskan pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) untuk memeriksa keadaan kesihatan juruterbang.

“Saya menjadi fasih kerana mahu atau tidak, saya perlu bertutur dalam bahasa Russia semasa belajar di sana. Saya belajar asas bahasa itu selama tiga bulan sebelum dihantar ke daerah yang berada di bawah pentadbiran Ukraine pada ketika itu.

“Hendak bertemu pesakit, keluar membeli barang di pasar, segala-galanya menggunakan bahasa Russia kerana penduduk di sana tidak fasih berbahasa Inggeris,” katanya ketika ditemui di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini.

Dalam video yang tular baru-baru ini, Dr. Siti Khadijah mengambil peluang untuk berbual dengan juruterbang Russian Knights yang baharu tiba di Langkawi untuk menyertai LIMA’25.

Tambah Dr. Siti Khadijah, walaupun sudah 16 tahun meninggalkan Crimea, beliau masih mempunyai rakan yang berasal dari negara itu dan akan bertutur bahasa Russia apabila menghubungi mereka.

“Sekarang saya sedang mempelajari bahasa Arab pula,” katanya

Beliau pernah menjadi petugas haji ATM pada 2023 dan bertemu ramai jemaah dari Russia dan kebolehan itu menemukannya dengan ramai rakan baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN