Bekas peguam Najib gagal bukti Badan Peguam memfitnah

Bekas peguam Najib gagal bukti Badan Peguam memfitnah

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga bekas peguam bela, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal membuktikan bahawa Badan Peguam Malaysia dan bekas presidennya, Karen Cheah Yee Lynn telah memfitnahnya dengan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah antaranya menyatakan tiga bekas peguam itu telah mencemarkan sistem keadilan.

Tiga bekas peguam selaku plaintif ialah Datuk Mohd. Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavanam. Mereka mewakili Najib sewaktu rayuan akhir Najib di Mahkamah Persekutuan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.

Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain berkata, tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa Badan Peguam dan Cheah berpakat untuk menjatuhkan reputasi ketiga-tiga peguam itu sebelum kenyataan media dibuat.

Pada 19 Ogos 2022, Cheah selaku defendan kedua didakwa menerbitkan kenyataan akhbar bertajuk Abuse of Process Brings Disrepute to Our Justice System pada laman web rasmi badan tersebut (defendan pertama) dan kenyataan itu diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal.

“Plaintif sendiri telah mengakui bahawa beliau tiada pengetahuan langsung berkenaan sebarang pertimbangan atau perbincangan antara defendan sebelum kenyataan media dikeluarkan sebaliknya hanya mengandaikan bahawa defendan kedua (Cheah) telah bertindak dengan kuasa dan kelulusan Majlis Peguam.

“Tuntutan mengenai pelanggaran kewajipan statutori berdasarkan Seksyen 90 Akta Profesion Undang-Undang 1976 juga adalah tidak berasas dan tersasar. Seksyen tersebut tidak mengawal prosiding tatatertib dan tidak memberikan hak tindakan peribadi seperti dalam kes ini,”kata hakim itu sebelum menolak saman fitnah yang difailkan oleh ketiga-tiga plaintif.

Berhubung reputasi Zaid, Teck Huat dan Rueben yang didakwa telah terjejas ekoran kenyataan media itu, Hakim Roz Mawar menyatakan pandangan tidak elok terhadap mereka telahpun wujud ekoran kenyataan dan tindakan mereka sewaktu prosiding di Mahkamah Persekutuan.

“Meskipun kenyataan dalam kenyataan media itu merujuk kepada plaintif dan telah diterbitkan, plaintif gagal membuktikan dalam makna biasa dan semula jadinya serta apabila dibaca dalam konteks, adalah bersifat memfitnah.

“Plaintif sendiri sebelum penerbitan (kenyataan media), membuat pelbagai pendedahan awam (melalui) temu bual media, hantaran media sosial, dan ulasan yang mengakui kekurangan persedian mereka, mengkritik peguam terdahulu dan memohon penangguhan yang akhirnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

“Mahkamah ini mendapati bahawa pada 19 Ogos 2022, kedudukan reputasi Plaintif telah pun ditentukan oleh fakta yang telah berada dalam domain awam. Dalam keadaan ini, kenyataan-kenyataan yang dipertikaikan walaupun bernada tegas tidak lagi menjejaskan reputasi Plaintif melebihi apa yang telah sedia berlaku,”kata Hakim Roz Mawar.

Tambah Hakim Roz Mawar, Mahkamah mengakui bahawa reputasi profesional wajar dilindungi namun ambang undang-undang bagi sesuatu dakwaan fitnah tidak dipenuhi sekiranya kesan utama sesuatu kenyataan tidak menambah kepada kerosakan reputasi yang telah pun berlaku.

“Mahkamah ini mendapati bahawa kenyataan itu tidak menurunkan atau mencederakan lagi kedudukan plaintif di mata masyarakat yang berfikiran munasabah. Oleh itu, tort fitnah tidak dibuktikan.

“Tuntutan Plaintif atas asas konspirasi untuk mencederakan juga gagal. Tiada bukti wujudnya sebarang persepakatan atau persetujuan antara defenda untuk bersama-sama mencederakan plaintif,”ujar hakim berkenaan.

Selepas membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Roz Mawar tidak membuat sebarang perintah berhubung kos sebagaimana yang dimohon oleh peguam defendan, Andrew Chiew.

Pada 30 September 2022, ketiga-tiga plaintif itu memfailkan saman fitnah tersebut di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST).

Mohd. Zaid, Teck Huat dan Rueben memfailkan saman tersebut atas dakwaan Badan Peguam dan presidennya itu mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah termasuk dakwaan bahawa kesemua plaintif melanggar tanggungjawab statutori mereka dan berkonspirasi untuk menjejaskan reputasi kesemua plaintif selaku peguam.

Kesemua plaintif mendakwa kenyataan membawa maksud antara lainnya ketiga-tiga peguam Najib itu menyalahgunakan proses mahkamah dan melakukan salah laku profesional dengan menerima kes daripada Najib serta perlu menghadapi prosiding tatatertib kerana menjatuhkan maruah profesion guaman.

Plaintif-plaintif mendakwa, penerbitan kenyataan akhbar itu menyebabkan reputasi mereka tercemar selain menegaskan bahawa tindakan defendan itu telah melanggar kewajipan berkanun dan telah memprejudis plaintif.

Oleh itu, kesemua plaintif menuntut ganti rugi am dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya, faedah dan kos selain memohon satu injunksi bagi menghalang defendan pertama dan kedua atau ejen mereka daripada menerbitkan perkataan-perkataan serupa yang bersifat fitnah terhadap plaintif-plaintif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN