KUALA LUMPUR: Seorang bekas banduan selama 23 tahun berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pentadbiran Perniagaan.
Dr. Murad (bukan nama sebenar), 38, berkata, hasrat untuk mendapatkan pelajaran bermula selepas mula dimasukkan ke dalam Penjara Kajang pada 2001 ketika berumur 14 tahun.
Katanya, sebab utama penghijrahan ke ibu kota daripada Sabah juga adalah demi mendapatkan pekerjaan untuk menyambung pengajian.
“Jadi bila saya dalam Tahanan Limpah Sultan ini, saya rasa kena buat sesuatu.
“Niat saya tadi memang nak belajar. Daripada Sabah saya datang, niat nak bekerja memang untuk sambil belajar sebab saya belajar sampai tingkat satu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita pada Konvokesyen ke-29 Open University Malaysia (OUM).
Dr. Murad yang buta huruf ketika ditahan pada umur 14 tahun telah belajar membaca dan menulis sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Beliau kemudian mendaftar di OUM pada tahun 2009 untuk meneruskan pendidikan pada peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan akhirnya PhD, kesemuanya dalam bidang Pentadbiran Perniagaan.
Sebaliknya pada Disember tahun lalu, Dr. Murad telah menerima pengampunan diraja daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sempena Hari Keputeraan baginda.
Dalam pada itu, Dr. Murad juga tidak menafikan berdepan beberapa cabaran termasuk reaksi negatif daripada orang sekeliling dan halangan belajar di dalam penjara.
“Antara kata-kata yang dilontarkan adalah ‘macam mana kau nak belajar, tidak pernah dibuat orangnya’, ‘siapa nak bayar yuran kau?’. Sebab saya 10 tahun memang tidak pernah jumpa keluarga. Alhamdulillah, disebabkan saya mualaf, saya ada duit mualaf yang diberikan untuk saya bayar yuran SPM.
“Habis SPM itu, tanya macam mana. Panggil semua universiti, tidak ada yang boleh masuk. Tapi OUM datang, mereka buat ujian untuk tengok kami layak atau tidak sebelum ditawarkan tempat,” katanya. – UTUSAN