KUALA TERENGGANU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan meningkatkan bekalan telur ayam khas gred C untuk menampung permintaan tinggi di pasaran.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, telur khas tersebut yang dijual murah kira-kira RM5 sepapan mula diperkenal pada Ramadan lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna.
Kata beliau, bekalan tersebut dapat menstabilkan harga telur apabila kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi bagi telur ayam bermula 1 Ogos ini.
“Kita juga mahu memperbanyak keluaran telur khas (gred C) yang lebih murah. Kita yakin harga telur tidak melambung apabila bekalan telur khas ditingkatkan di pasaran,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Pakatan Harapan (PH) Terengganu, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, pengguna boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif melalui jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara.
“Bekalan telur juga boleh didapati di semuat outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” katanya. – UTUSAN