KUALA LUMPUR: Tiada tangkapan setakat ini susulan kematian bayi berusia tujuh bulan di sebuah taska di Setapak, Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, proses rakaman percakapan semua saksi diambil oleh Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Kontinjen Kuala Lumpur.
“Mereka yang dirakam percakapan membabitkan pemilik taska, pengasuh dan lain-lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Siasatan dijalankan dari semua sudut termasuk rakaman televisyen litar tertutup (CCTV). Buat masa ini belum ada tangkapan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.
Media sebelum ini melaporkan, bayi terbabit, Muammar Aidil dilaporkan tidak sedarkan diri tidak sampai sejam selepas dihantar ke premis jagaan tersebut pada pukul 9.20 pagi sebelum disahkan meninggal dunia.
Kejadian dipercayai berlaku antara 9 pagi hingga 11 pagi.
Polis menerima laporan kejadian daripada bapa mangsa di Balai Polis Setapak pada 1.26 tengah hari, hari sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. – UTUSAN