KLUANG: Dua maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu melanggar pembahagi jalan dalam kejadian di Kilometer 68.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Machap, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, dalam kejadian pukul 8 pagi itu, pemandu, G. Logharaj, 21, dan penumpang hadapan, S.
Seelankumar, 26, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Katanya, seorang lagi rakan mereka, P. Roshaan, 21, yang duduk di kerusi belakang tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan awal mendapati tiga sahabat ini dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur dan apabila sampai di lokasi kejadian, kereta Proton X50 yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN









