Bayi lelaki 13 bulan cedera disyaki didera pengasuh - Utusan Malaysia

Bayi lelaki 13 bulan cedera disyaki didera pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Seorang bayi lelaki berusia 13 bulan lebam di beberapa bahagian badan dipercayai didera pengasuh dalam kejadian di Seri Iskandar, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada doktor yang merawat mangsa pada pukul 5.21 petang.

Katanya, pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat kesan lebam di bahagian pipi, telinga, dahi, perut dan kaki.

“Mangsa dibawa ke hospital oleh ibu bapanya untuk rawatan selepas dilihat berada dalam keadaan lemah.

“Selain kesan lebam, doktor yang merawat mangsa mendapati keadaan mata kanak-kanak itu juga tidak normal seperti biasa dan disyaki telah didera,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, susulan laporan polis dibuat doktor terbabit, tangkapan dijalankan ke atas wanita berusia 30-an yang juga pengasuh kanak-kanak itu untuk membantu siasatan.

Katanya, suspek yang baru dua minggu menjaga mangsa ditahan pada pukul 9.20 malam.

“Permohonan reman akan dijalankan ke atas suspek hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN