Bas ekspres terbakar, 29 penumpang selamat - Utusan Malaysia

Bas ekspres terbakar, 29 penumpang selamat

KEADAAN bas ekspres yang terbakar selepas dipercayai menyeret sebuah motosikal dalam kejadian di Kilometer 406 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Kamunting di Taiping. - UTUSAN/IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seramai 29 penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbakar selepas dipercayai menyeret sebuah motosikal yang terbabas dalam kejadian di Kilometer 406 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Kamunting di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 9.16 malam.

Menurutnya, dua jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dan Taiping ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, anggota bomba yang tiba di lokasi kemalangan mendapati sebuah bas ekspres sedang terbakar selepas dipercayai menyeret sebuah motosikal jenis Yamaha LC yang terbabas.

“Kemalangan menyebabkan kebakaran besar pada bas ekspres dan semua 28 penumpang serta pemandu bas berjaya menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba.

“Seorang penunggang motosikal dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pasukan penyelamat yang diketuai Ketua Operasi melaksanakan penilaian situasi dan teknik ‘receo’ dalam operasi pemadaman dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula dengan sumber air dari tangki jentera.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 10.15 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.33 malam.

Punca kejadian dan anggaran kerugian sedang dalam siasatan pihak berkuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN