BERMULA daripada sebuah gerai nasi lemak di tepi jalan, jenama Suarasa by Ciksue kini muncul sebagai kafe makanan tradisional yang menjadi tumpuan ramai di Pulau Pinang sekali gus membuktikan bahawa cita rasa warisan masih relevan dan mampu berkembang seiring dengan peredaran masa.
Pemiliknya, Siti Suhaila Isnin, 31, berkata, perjalanannya dalam dunia perniagaan makanan bermula seawal tahun 2016 menerusi gerai Nasi Lemak Ciksue di kawasan Jalan Datuk Keramat.

Menurutnya, ketika itu, dia memulakan perniagaan secara kecil-kecilan sebagai peniaga gerai di Jalan Datuk Keramat dengan menu utama iaitu nasi lemak.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan daripada situ, saya belajar selok-belok berniaga serta bagaimana untuk lebih memahami kehendak pelanggan,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Hasil pengalaman selama hampir lapan tahun dalam perniagaan makanan, Siti Suhaila berkata, dia kemudian mengambil langkah seterusnya dengan membuka Suarasa by Ciksue yang terletak di Lebuh Nordin, George Town bermula pada 11 November 2024.
Siti Suhaila berkata, pembukaan Suarasa by Ciksue didorong oleh hasrat untuk memperkenalkan kepelbagaian menu tradisional Pulau Pinang kepada pelanggan, khususnya pelancong dari luar negeri itu.
“Saya rasa ramai orang luar dari Pulau Pinang tidak tahu sebenarnya kita ada banyak menu tradisional yang sedap dan asli bukan sekadar nasi lemak atau char kuey teow sahaja,” katanya.
Jelas wanita itu, idea menu di Suarasa turut dipengaruhi oleh latar belakang keluarganya serta pengalaman peribadi selepas berumah tangga yang memperkenalkan beliau kepada variasi hidangan tradisional pelbagai kaum.
“Dalam keluarga kami, tosai memang hidangan biasa terutama ketika musim perayaan. Ada juga pengaruh Pantai Timur. Jadi, saya gabungkan menu-menu tradisional yang sukar ditemui itu di satu tempat,” katanya yang memberitahu, Suarasa by Ciksue beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam.
Menurut Siti Suhaila, kafe Suarasa menawarkan lebih 25 jenis menu merangkumi sarapan pagi dengan nasi lemak dan tosai menjadi pilihan utama selain menu makan tengah hari dan makan malam.
“Menu yang paling laris ketika ini pula adalah char kuetiau special yang menjadi kegemaran pelanggan pelbagai peringkat umur serta menu nasi ayam termasuk nasi ayam panggang serta ayam gepuk,” terangnya.
Daripada segi harga, Siti Suhaila berkata, makanan di Suarasa ditawarkan pada harga berpatutan bermula serendah RM6 dan selain makanan, Suarasa by Ciksue turut menawarkan pelbagai minuman istimewa seperti coconut shake, air kelapa dan teh masala dengan resipi tersendiri.
Mengulas cabaran sebagai peniaga pula, Siti Suhaila berkata, isu tenaga kerja adalah cabaran terbesar yang dihadapi ketika ini memandangkan pada masa ini, berlaku kekurangan tenaga kerja muda yang mempunyai asas kemahiran dalam perusahaan makanan.
“Ramai lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) kurang pendedahan tentang kerja dalam industri makanan. Jadi, apabila kami ambil staf baharu, maka, mereka ini perlu dilatih dari awal,” katanya yang kini menggaji seramai 25 pekerja bagi menguruskan dua cawangan restoran berkenaan.

Sementara itu, katanya, selain musim cuti sekolah, kedua-dua cawangan miliknya itu turut dipenuhi pelanggan ketika hujung minggu.
Justeru, Siti Suhaila menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya dua lagi cawangan baharu dalam tahun ini selain berusaha memperluaskan konsep kafe dengan penawaran kopi di semua cawangannya.
“Jika tenaga kerja kami mencukupi, tidak mustahil kami akan kembangkan perniagaan ke luar Pulau Pinang pula selepas ini,” katanya yang turut memaklumkan bahawa Suarasa by Ciksue kini mempunyai ‘central kitchen’ bagi memastikan kualiti dan konsistensi rasa setiap menu.
Tambah Siti Suhaila, seorang chef berpengalaman turut dilantik bagi membantu kreja-kerja inovasi serta pembangunan menu baharu dan dia berharap agar Suarasa by Ciksue dan Nasi Lemak Cik Sue akan terus menjadi platform untuk memperkenalkan makanan tradisional kepada generasi muda. –UTUSAN










