KUALA LUMPUR: Kumpulan rock Barbarik bakal menyampaikan lagu kumpulan Wings pada konsert sulung mereka, Konsert Barbarik: Pentas Peluru Cokelat yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 28 Jun ini.
Menurut penerbit, komposer dan pemain gitar Barbarik, JoBranko, lagu-lagu dari band lamanya itu dipilih kerana sebahagian daripada ciptaannya, malah turut mendapat permintaan dari peminatnya.
“Kalau nak ikutkan, lagu siapa pun kami boleh bawa kerana ada yang saya sendiri hasilkan. Cuma kali ini, kami tampilkan susunan muzik lebih segar berbanding sebelum ini.
“Ini pun antara permintaan daripada peminat-peminat saya. Kalau nak diikutkan mereka, banyak lagi permintaan lagu yang mereka minta nyanyi. Tapi kita akan keluar sedikit-sedikit dulu,” katanya dalam sidang media Konsert Barbarik:Pentas Peluru Cokelat.
Tambahnya lagi, selain lagu Wings, lagu-lagu Muss bersama kumpulan lamanya, May, akan turut dinyanyikan pada malam itu, memandangkan album Peluru Cokelat hanya mempunyai enam buah lagu baharu sahaja.
“Album pun baru sahaja ada enam lagu baharu, jadi kami memang perlu tambah lagu-lagu zaman saya dengan Muss. Selepas itu, baru saya pilih lagu-lagu yang saya hasilkan dengan band lama,” katanya.
Dalam pada itu, JoBranko berkata, Barbarik pada konsert kali ini akan membawa kesemua lagu ciptaan sendiri dan membawa kelainan yang bakal memberi kejutan kepada para peminat hingga tidak senang duduk.
“Setiap konsert yang kami buat akan ada perbezaan. Akan ada kejutan pada permulaan, pertengahan dan penutup.
“Kami yakin peminat tidak akan senang duduk sehingga ada yang tak pergi tandas sebab tak mahu terlepas,” katanya berseloroh.
Pentas Peluru Cokelat bakal menyajikan peminat sekitar 20 buah lagu bersama barisan gitaris undangan iaitu Shah Slam, Ujang Tukimon, Muzza serta diiringi lapan pemuzik barisan ‘ string octet’.
Gandingan legenda muzik rock Muss, JoBranko, Rozaimi dan Ainol bakal membawa peminat melewati garis masa era 1980an dan 1990an dengan lagu malar segar dalam segmen ‘Restro Akustika’.
Konsert itu anjuran Karri Talk Production dan Pentas Barbarik sdn. Bhd. selaku penganjur bersama.