KULIM: “Saya anggap pengorbanan dia masih sedikit kerana masih baru menyertai FRU sejak awal tahun ini namun dia diberi penghormatan yang tinggi hari ini,”.
Demikian luah Annuar Yusof, 55, bapa kepada anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Allahyarham Konstabel Akmal Wafi, 27, yang meninggal dunia bersama rakan-rakan setugasnya dalam kemalangan di Teluk Intan, Perak, semalam.
Menurut Annuar, walaupun baru berkhidmat, dia dapat melihat perubahan yang ketara terhadap anak sulungnya itu selepas menyertai FRU terutama dalam hal berkaitan disiplin.
“Dia tamat latihan pada November tahun lalu jadi saya anggap jasa dan pengorbanan dia kalau dibandingkan dengan anggota yang lebih lama bertugas mungkin tidak sama untuk menerima penghormatan setinggi ini.
“Namun, kami sekeluarga rasa bangga dengan arwah yang memilih untuk menyertai pasukan polis,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tunku Abdul Rahman Putra, Kampung Sungai Limau di Lunas, hari ini.
Katanya, arwah mungkin amat berminat dengan kerjaya itu kerana sanggup meninggalkan kerja dengan sebuah syarikat swasta yang ketika itu meraih gaji yang agak tinggi.
“Mungkin rezeki arwah, nak kata minat atau tidak saya tidak pasti. Namun, apabila dia berada dalam pasukan beruniform ini, arwah lebih berdisiplin dan menjaga integriti.
“Hari ini saya lihat arwah sebagai seorang wira dalam keluarga kami dan merupakan satu penghormatan tinggi untuknya walaupun baru sahaja berkhidmat,” katanya.
Sementara itu, Annuar berterima kasih kepada semua pihak khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit 5 FRU Ipoh yang membantu menguruskan jenazah Akmal Wafi.
Tambahnya, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Akmal Wafi dan berdoa agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
Terdahulu, jenazah Akmal Wafi selamat dikebumikan kira-kira pukul 11 pagi setelah dibawa pulang dari Teluk Intan dan turut dibawa ke rumah keluarganya bagi membolehkan saudara mara dan rakan arwah memberi penghormatan terakhir. – UTUSAN