PETALING JAYA: Tindakan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati) menjadikan bangunan terbengkalai di Seri Kembangan dekat sini sebagai kediaman mereka sejak 2020 terbongkar selepas lokasi itu digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Menerusi operasi pada pukul 12.45 tengah malam tadi, semua PATI itu turut dikesan menyambung bekalan air dan elektrik secara haram.
JIM dalam satu kenyataan berkata, hasil serbuan dilakukan, seramai 33 warga asing telah ditahan.
“Daripada 73 orang warga asing yang diperiksa, seramai 33 individu berusia antara 25 hingga 60 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan India,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut JIM, tindakan ini adalah hasil aduan awam dan siasatan lanjut akan dijalankan mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.
“Semua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, JIM menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen negara. – UTUSAN