Banduan muda jadi inspirasi untuk berjaya

Banduan muda jadi inspirasi untuk berjaya

Suresh ketika ditemui media pada Majlis Konvokesyen Ke-29 Open University Malaysia (OUM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang banduan yang ditahan sejak berusia 17 tahun dan sedang menjalani hukuman penjara sepanjang hayat, berjaya mengubah nasibnya di sebalik tirai besi apabila menamatkan program pengajian Diploma Pengurusan.

Menurut Suresh (bukan nama sebenar), 31, dia berasa agak skeptikal ketika pertama kali mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran kerana tidak yakin akan kemampuannya untuk belajar.

“Pada awalnya, saya agak ragu-ragu kerana saya tidak yakin sama ada saya mampu untuk belajar atau tidak kerana semua orang tahu penjara itu susah.

“Namun, perasaan ingin mencuba sangat kuat sehingga saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ini,” katanya ditemui pada Majlis Konvokesyen Ke-29 Open University Malaysia (OUM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Seramai 7,915 graduan menerima skrol masing-masing dalam majlis konvokesyen itu yang berlangsung dalam 10 sesi dari 3 hingga 7 Mei ini.

Turut menerima ijazah pada majlis sama ialah dua lagi banduan dari Penjara Kajang, Siva, 36, yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan Shankar, 34, Diploma Pengurusan.

Menurut Suresh yang juga pernah dianugerahkan pelajar terbaik pada 2014 semasa mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam penjara, kejayaannya merupakan bukti bahawa usaha dan kesungguhan paling penting tidak kira di mana seseorang itu berada.

“Saya rasa sangat bangga. Walaupun di dalam penjara, saya masih boleh mencapai kejayaan. Ini adalah sesuatu yang membanggakan.

“Ramai yang melihat gambar konvokesyen kami yang dipamerkan di penjara dan berkata mereka juga mahu belajar. Mereka bertanya bagaimana cara untuk menyertai program ini,” katanya.

Tambah Suresh lagi, kehidupan sebagai banduan, menyebabkan dia dan rakan-rakannya hidup seperti di dalam dua alam yang berbeza.

“Dari pagi hingga petang kita berada dalam kelas dengan segala kemudahan. Selepas petang hingga pagi esok, kita kembali ke kehidupan sebagai banduan dengan peraturan yang ketat,” jelasnya.

Menurutnya lagi,  dia bersyukur kerana mendapat sokongan padu daripada guru-guru dan rakan-rakan yang sentiasa memberi semangat kepadanya terutamanya semasa tempoh pandemik Covid-19 yang menyukarkan proses pembelajaran.

“Guru-guru dan kawan-kawan semua sangat menyokong. Mereka selalu berkata, tidak kira di mana kita berada dan apa yang kita lakukan, yang penting adalah usaha.

“Masa pandemik, kelas tutup. Kami terpaksa belajar secara dalam talian sepenuhnya. Untuk berkomunikasi dengan pensyarah, kami hanya boleh gunakan e-mel dan segala tugasan juga perlu dihantar melalui e-mel di bawah pengawasan pegawai bertugas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya