KUANTAN: Kira-kira 235 peneroka yang terlibat perlombongan bahan mineral bauksit di Felda Bukit Goh di sini hanya bahagia sementara apabila masing-masing menerima ‘durian runtuh’ kira-kira setahun bermula pertengahan 2014.
Para peneroka ketika itu tidak menyangka menjadi jutawan segera apabila menerima puluhan ribu ringgit sehingga mencecah RM1 juta ketika itu tanpa langsung memikirkan kesan masa depan setelah kira-kira 900 hektar ladang kelapa sawit mereka habis dikorek untuk perlombongan bahan mineral tersebut.
Namun segalanya berubah dan menjadi ibarat episod hitam buat peneroka apabila kegiatan perlombongan bauksit menyebabkan kemusnahan alam sekitar sehingga air sungai dan laut bertukar menjadi merah selain menjejaskan kehidupan marin serta kerosakan infrastruktur dan kemudahan awam di sekitar kawasan terlibat.
Kesan lain, kawasan bekas perlombongan ditinggalkan begitu sahaja sehingga menjadi kolam terbiar dan ‘perangkap maut’ khususnya kepada kanak-kanak setempat.
Akibatnya, kerajaan membuat keputusan menghentikan perlombongan bauksit bermula 2016 akibat ‘serangan debu merah’ dan bunyi bising sekali gus menyebabkan peneroka terlibat ‘merana’ hilang punca pendapatan sehingga ada antaranya mengalami tekanan hidup.
Bahagia hanya setahun, kini peneroka terlibat sudah sembilan tahun merana dan terdapat sebilangan mereka hidup seolah-olah merempat akibat hilang punca pendapatan.
Seorang peneroka Felda Bukit Goh, Sulong Hasan, 82, berkata, dia kini sudah putus harapan kerana sembilan tahun menunggu perkembangan aktiviti perlombongan bahan mineral tersebut.
“Jika kita cakap soal tekanan hidup, memang peneroka yang terlibat perlombongan bauksit mengalami tekanan hidup kerana kami telah sembilan tahun tiada punca pendapatan.
“Hendak tanam semula sawit, kosnya terlalu tinggi sehingga mencecah RM150,000. Mana saya mampu kerana kami sudah lama tiada punca pendapatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
MERANA HAMPIR SATU DEKAD
Kegiatan perlombongan bauksit, bijih mineral yang mempunyai aluminium hidroksida di Kuantan, terutama di Felda Bukit Goh, Balok dan Gebeng telah bermula sejak pertengahan 2014.
Namun aktiviti pengeluaran bauksit terhenti apabila kerajaan Persekutuan mengenakan tempoh moratorium bermula 15 Januari 2016 ekoran pelbagai isu membabitkan pencemaran, keselamatan jalan raya dan ancaman kesihatan akibat aktiviti tidak terkawal itu.
Ketika itu kawasan Sungai Goh hingga ke Pelabuhan Kuantan, terutama laluan yang terlibat membawa mineral itu bertukar menjadi merah dan amat meresahkan orang ramai.
Sulong berkata, dia amat bersetuju jika ada usaha untuk melaksanakan sebarang projek pembangunan di tanah ladang sawit di tanah rancangan tersebut.
“Apa sahaja yang kerajaan hendak buat, buatlah. Apa yang penting, ia dapat memberi pendapatan bulanan kepada kami. Kami sudah terlalu lama merana tiada pendapatan,” katanya.
Selain itu generasi kedua Felda, Norfauziana Salim, 41, pula berharap ada khabar gembira tahun ini sekali gus menamatkan penderitaan peneroka di situ yang hampir memasuki satu dekad.
“Tidak tahu lagi kepada pihak mana kami ingin merayu nasib. Harap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dapat membantu kami di Felda Bukit Goh. Berilah keceriaan dan kegembiraan kepada kami pada tahun 2025 ini,” katanya.
Bagi Ros Asmawi Abdul Latif, 44, peneroka terlibat merayu kerajaan khususnya Felda membantu seperti melonggarkan sekatan tanah Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967 bagi pelaksanaan projek pembangunan di tanah ladang Felda Bukit Goh supaya tidak membebankan mereka yang hilang punca pendapatan.
“Sudah sembilan tahun kami menunggu sejak aktiviti perlombongan bauksit dihentikan pada 2016. Ia hampa dan menyedihkan umpama menunggu bulan jatuh ke riba,” katanya.
Menurutnya, penduduk dimaklumkan terdapat perancangan oleh Pertubuhan Gagasan Dua Generasi Kuantan (G2G) untuk membangunkan projek Lembah Solar di kawasan terlibat perlombongan bauksit di Felda berkenaan.
“Diharapkan G2G dapat melaksanakan proposal projek tersebut secepat mungkin. Kami tidak harap lagi kepada penanaman semula kelapa sawit kerana tanah sudah tidak subur,” katanya.
Difahamkan, projek lembah solar sedang dirancang dalam memastikan peneroka yang terjejas akibat perlombongan bauksit mampu menjana pendapatan minimum RM3,000 sebulan memandangkan tanah di lokasi terbabit tidak lagi sesuai untuk pertanian.
“Jika ditanam semula sekali pun pastinya memerlukan modal tinggi bagi merawat tanah tersebut yang belum tentu menjanjikan kejayaan, jadi pembangunan segera perlu dilakukan mengambil kira masa depan peneroka terbabit,” kata Ros Asmawi.
RIZAB BAUKSIT PAHANG 80.2 JUTA TAN METRIK
Felo Industri Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber (Pusat SMaRRT) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Datuk Ir. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, data bauksit di Malaysia diperoleh dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menunjukkan Pahang mempunyai anggaran rizab terbesar, 80.2 juta tan metrik dan mampu jana pendapatan lebih RM2 bilion.
“Menurut penyelidik jurnal Resources Policy pada 2020, Malaysia pada masa ini mempunyai rizab bauksit yang dianggarkan sebanyak 109.1 juta tan. Sebahagian besar bahan mineral berkenaan terletak di Pahang, diikuti Terengganu (23.5 juta tan), Sabah (2.6 juta tan), Sarawak (1.6 juta tan) dan Johor (1.2 juta tan),” katanya.
Katanya, perlombongan bauksit boleh dijalankan dengan syarat mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) 2019 yang telah dibangunkan dan penguatkuasaan ketat pihak berautoriti.
“Selain itu, Malaysia juga harus mengusahakan kilang pemprosesan bauksit kepada aluminium agar memberikan kesan positif kepada ekonomi negara di samping minimumkan pencemaran alam sekitar,” katanya.
SOP LESTARI TERSEDIA SEJAK 2019
Prosedur operasi standard (SOP) lestari berhubung aktiviti bauksit negeri ini sudah disediakan sejak 2019 yang dirangka Jawatankuasa Eksekutif Penilaian SOP oleh kerajaan Pusat bagi membolehkan aktiviti mineral itu dilaksanakan tanpa mengulangi masalah lama
SOP itu menjelaskan keseluruhan rantaian aktiviti perlombongan bermula peringkat praperlombongan, semasa perlombongan dan pasca perlombongan termasuk pengendalian logistik dan penyimpanan stok di pelabuhan.
Naib Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Noor Jehan Abu Bakar berkata, pihaknya berharap pematuhannya dikuatkuasakan sekiranya perlombongan dilaksanakan semula dan kegagalan berbuat demikian boleh mencemarkan alam sekitar dan tidak memenuhi indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Kita perlu belajar daripada apa sudah berlaku, kesannya masih ada hingga kini. Pelan mitigasi dan pemulihan mesti sudah ada sebelum perlombongan dimulakan. Bukan tunggu lepas habis, baharu hendak buat pemuliharaan,” katanya.
PANTAU STOK SIMPANAN
Pengerusi G2G, Jefri Salim berkata, ia perlu dilakukan selaras titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar pentadbiran negeri ini terus berusaha membasmi segala ketirisan hasil bumi.
“Memandangkan stok simpanan bauksit di Felda Bukit Goh di sini ada yang sudah diluluskan, G2G berharap tiada yang mengambil kesempatan mencuri keluar di tempat yang tiada kelulusan.
“Ini memerlukan pemantauan rapi pihak berwajib supaya tidak ada pihak yang berani mengambil kesempatan mencuri bahan mineral ini,” katanya.-MINGGUAN










